Terdapat 254 lokasi cerun merbahaya di Malaysia yang telah dikenal pasti sebagai berisiko terhadap tanah runtuh, menurut Jabatan Mineral dan Geosains (JMG). Menurut laporan The Star, 104 lokasi dikelaskan sebagai berisiko tinggi, 97 berisiko sederhana dan 53 berisiko rendah, kata Ketua Pengarah JMG, Datuk Zamri Ramli.
Dengan bilangan angka cerun merbahaya yang tertinggi, Sabah mendahului dengan 36 lokasi. Selain itu, dengan 25 lokasi setiap negeri, negeri-negeri yang terlibat adalah Johor, Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu. Diikuti oleh Sarawak dan Selangor dengan 21 lokasi, Negeri Sembilan 19 lokasi, Pulau Pinang 13 lokasi, Kedah 8 lokasi, Melaka 6 lokasi, Perlis 4 lokasi dan Kuala Lumpur 1 lokasi.
“Pengkelasan dan pemantauan cerun-cerun yang dinyatakan ini dilakukan secara berperingkat, dengan laporannya diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan serta agensi atau jabatan teknikal terlibat untuk membantu dan menggerakkan langkah penyelenggaraan atau penghindaran. Maklumat sama turut diberikan kepada agensi penyelamat sebagai persediaan mereka dalam berhadapan dengan situasi geologikal,” ujar Zamri.
37 daripada 254 lokasi berkenaan telah selesai kerja-kerja penghindaran, manakala 15 lokasi sedang menjalaninya dan baki selebihnya iaitu sebanyak 202 lokasi sedang dipantau untuk tindakan selanjutnya, tambah beliau.
31 kawasan berisiko tinggi tanah runtuh juga telah dikenal pasti, terutamanya lokasi di sepanjang lebuh raya seperti di Lebuhraya Lingkaran Timur-Barat, Laluan Tapah-Cameron Highlands, Seremban-Simpang Pertang, Rembau-Johol dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.
Lain-lain lokasi berisiko adalah di Sungai Buloh, Bukit Antarabangsa, Genting Peras sementara di Sabah dan Sarawak pula melibatkan Kota Kinabalu, Kundasang, Sandakan, Miri, Kapit dan Bau. Dari 11 Mei 1961 hingga 17 Disember 2023, sebanyak 6,431 kejadian tanah runtuh telah terjadi dan 602 kematian melibatkan lokasi-lokasi titik panas.
Lata Iskandar Forest Ecopark di Perak, Sungai Tua Forest Ecopark di Selangor, Jeram Toi Forest Ecopark di Negeri Sembilan, Chamang Forest Ecopark di Pahang serta Lata Payung, Chemerong dan Air Menderu Forest Ecoparks di Terengganu juga telah ditekankan oleh Zamri di mana kawasan-kawasan ini berpotensi mengalami aliran serpihan dan sisa tanah runtuh.
Mereka yang tinggal berdekatan dengan kawasan cerun atau lokasi dengan sejarah kejadian tanah runtuh dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan persekitaran seperti pergerakan cerun, rekahan tanah, dinding, tiang serta jalan dan sekiranya terdapat sebarang keraguan, laporkan secepatnya kepada JMG atau pihak berkuasa tempatan.
Sumber : The Star
Kredit Imej : Harian Metro