Perodua bakal melakar sejarah tersendiri apabila mengesahkan pelancaran kenderaan elektrik (EV) pertama mereka dengan harga tidak melebihi RM80,000.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, projek ini bukan sekadar memperkenalkan model baharu, tetapi membawa misi untuk menjadikan teknologi elektrik lebih mudah dicapai dan praktikal untuk semua golongan pengguna.
“Fokus kami ialah memastikan rakyat dapat merasai pengalaman pemanduan senyap, lancar dan moden tanpa membayar harga terlalu tinggi. Model ini juga akan tampil dengan sistem bantuan pintar serta integrasi digital sepenuhnya,” katanya ketika majlis pelancaran aplikasi SuperApp P-Circle, hari ini.
Menurut Zainal, Perodua menyasarkan 50 peratus komponen tempatan selepas enam bulan pengeluaran bermula. Usaha sedang digiatkan untuk memperkukuh bekalan tempatan, terutamanya bagi komponen utama seperti bateri yang kini masih diimport dari China.
EV pertama ini dijangka dihasilkan sebanyak 2,500 unit setiap bulan, dengan sasaran memenuhi permintaan domestik dan serantau. Dalam masa sama, semua jurujual dan juruteknik Perodua sedang melalui latihan serta pensijilan khas bagi memastikan pengendalian EV lebih selamat dan efisien.
Selain pelancaran EV, Perodua turut memperkenalkan P-Circle SuperApp, platform digital serba lengkap yang menyatukan perkhidmatan kenderaan, hiburan, tempahan servis dan sistem sambungan pintar antara kenderaan dan telefon bimbit pengguna.
Aplikasi itu turut dilengkapi dengan jam tangan pintar rekaan tempatan, yang membolehkan pengguna memantau status kereta mereka terus dari pergelangan tangan. Versi edisi khas wanita juga dalam perancangan untuk diperkenalkan tidak lama lagi.
Perodua melihat P-Circle sebagai langkah penting ke arah masa depan digital, yang akan diperluas dengan perkhidmatan berasaskan langganan seperti sambungan internet dalam kereta dan sistem langganan bateri EV.
Dalam masa sama, syarikat turut bekerjasama rapat dengan penyedia pengecas tempatan bagi memastikan rangkaian pengecas EV terus mudah diakses di seluruh negara.
Sumber: Harian Metro
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?