NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal

Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal

SUV besar sememangnya menawarkan ruang yang luas, posisi pemanduan yang tinggi dan penampilan yang lebih premium. Tidak hairanlah ramai rakyat Malaysia memilih SUV 5 dan 7 tempat duduk seperti Proton X90, Chery Tiggo 8 Pro, Jaecoo J7, Honda CRV, Proton X70 mahupun X50 dan model-model lain sebagai kenderaan keluarga.

Namun selepas beberapa bulan atau tahun memilikinya, ada juga pemilik yang mula sedar bahawa SUV bukanlah pilihan yang sesuai dengan gaya hidup mereka.

Berikut adalah lima sebab yang sering menjadi punca penyesalan.

1. Ansuran Bulanan Tinggi, Komitmen Bertahun-Tahun

SUV kebiasaannya dijual pada harga yang lebih mahal berbanding sedan, malah ada yang mencecah RM250,000 dan ke atas.

Walaupun ada harga SUV segmen B yang hanya beberapa puluh ribu ringgit, jika mengambil pinjaman selama 9 tahun, jumlah komitmen tambahan itu boleh memberi kesan kepada simpanan, perbelanjaan keluarga dan kemampuan untuk memiliki aset lain pada masa hadapan.

2.Insurans dan Road Tax Lebih Mahal

Ini antara kos tahunan yang sering dipandang remeh.

Semakin tinggi harga sesebuah kenderaan, semakin tinggi juga premium insurans yang perlu dibayar. Jika melibatkan model import atau varian premium, perbezaannya boleh mencecah ribuan ringgit setahun berbanding model yang lebih murah.

Bagi model yang menggunakan enjin berkapasiti lebih besar, cukai jalan (road tax) juga boleh menjadi lebih mahal.

Walaupun hanya dibayar setahun sekali, jumlahnya tetap perlu diambil kira dalam kos pemilikan keseluruhan.

3. Minyak Lebih Kuat

Walaupun banyak SUV moden menggunakan enjin turbo yang cekap, saiz badan dan berat yang lebih besar tetap memerlukan lebih banyak tenaga.

Kalau selalu memandu dalam bandar yang sesak, penggunaan minyak boleh jadi lebih tinggi berbanding sedan atau SUV kompak.

Lagi ramai penumpang dan barang dibawa, lagi tinggi penggunaan bahan api.

4. Kos Servis Lebih Mahal

SUV besar biasanya datang dengan:

  • Tayar bersaiz 19 hingga 21 inci.
  • Brek lebih besar.
  • Kuantiti minyak enjin lebih banyak.
  • Bateri lebih mahal (bergantung kepada model).
  • Suspensi yang lebih kompleks.

Semua ini meningkatkan kos penyelenggaraan apabila usia kereta semakin meningkat.

5. Sukar Dipandu Di Kawasan Sempit

Bagi yang tinggal di kawasan perumahan lama atau sering melalui jalan kecil:

  • Perlu lebih berhati-hati.
  • Pusingan U lebih sukar.
  • Jalan kampung kadang-kadang sempit.
  • Lorong parkir rumah juga mungkin tidak cukup luas.

Saiz yang besar memang memberi keyakinan di lebuh raya, tetapi tidak semestinya praktikal setiap hari.

6. Kebanyakan Masa Pandu Seorang Diri

Ini antara situasi paling biasa.

Ramai beli SUV 7 tempat duduk, tetapi hakikatnya:

  • Pergi kerja seorang.
  • Ambil anak sekolah dua atau tiga orang sahaja.
  • Hujung minggu pun jarang penuh.

Maksudnya, setiap hari anda membawa badan kereta yang jauh lebih besar daripada keperluan sebenar.

Kesimpulan

SUV besar sememangnya pilihan yang tepat untuk keluarga besar, mereka yang kerap melakukan perjalanan jauh atau sering membawa ramai penumpang.

Namun, jika pembelian dibuat hanya kerana mengikut trend atau mahukan imej yang lebih premium, anda mungkin akan berdepan dengan kos pemilikan yang lebih tinggi daripada yang dijangkakan.

Sebelum membeli, tanya diri sendiri satu soalan mudah: Adakah saya benar-benar memerlukan sebuah SUV??

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy