Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyita 21 kenderaan perdagangan selepas menjalankan pemeriksaan di 37 Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sejak 30 Disember yang lalu.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, operasi ini dijalankan sebagai sebahagian daripada Operasi Khas Gempur Teknikal yang bertujuan menguatkuasakan peraturan jalan raya lebih tegas, terutamanya terhadap kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ops Khas Puspakom bertujuan untuk memeriksa status keselamatan kenderaan perdagangan sebelum, semasa, dan selepas pemeriksaan di Puspakom. Dari pemeriksaan yang dilakukan, sebanyak 21 kenderaan disita kerana pelbagai kesalahan, antaranya lesen palsu, guna kenderaan tidak berdaftar, insurans tamat tempoh, dan menggunakan lesen syarikat lain.
Salah satu kes yang mengejutkan adalah sebuah lori yang diluluskan oleh Puspakom, namun sebenarnya tidak memenuhi piawaian keselamatan. JPJ bertindak menyita lori tersebut untuk mengelakkan risiko keselamatan yang lebih besar.
JPJ juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat penyelewengan yang mungkin berlaku dalam keputusan pemeriksaan Puspakom.
Datuk Aedy Fadly menegaskan bahawa JPJ akan terus mengadakan penguatkuasaan secara bersepadu dengan agensi penguat kuasa lain, bagi memastikan keselamatan jalan raya sentiasa terjaga dan mengurangkan risiko kemalangan, terutama yang melibatkan kenderaan perdagangan.
Sumber : Harian Metro
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?