Hanya selepas 24 jam Xiaomi SU7 dilancarkan, syarikat gergasi teknologi China, Xiaomi telah menerima tempahan sebanyak 88,898 unit tempahan kenderaan elektrik (EV) berkenaan.
Xiaomi SU7 secara rasmi telah dilancarkan pada Khamis yang lalu untuk pasaran China dan telah dibuka untuk tempahan kepada semua para pengguna di negara itu.
Sebanyak tiga variasi telah ditawarkan untuk penjualan di mana harga bermula 215,900 yuan (kira-kira RM141,500), menurut Pegawai Eksekutif Xiaomi, Lei Jun.
“SU7 yang kompak dan sporty akan tersedia dalam sembilan warna dan termasuk simulasi bunyi untuk mencipta semula keseronokan memandu kereta sport,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran SU7.
Beberapa hari sebelum itu, syarikat gergasi kereta China, BYD baru sahaja mencatatkan rekod keuntungan tahunan kerana perkembangan pesat ke luar negara di Asia Tenggara serta lebih jauh di Amerika Latin dan Eropah. Tambah Lei Jun, mereka menyasarkan untuk membuat penghantaran kenderaan kepada para pembeli bermula hujung April ini.
“SU7 adalah setanding dengan Model 3 Tesla dan mengatasi sedan pembuat Amerika dalam beberapa aspek. Saya rasa kami boleh menyediakan produk yang lebih baik untuk pengguna Model 3,” ujarnya.
Dengan pengenalan model SU7 ini, ia bakal meletakkan Xiaomi sebaris dengan BYD dan Tesla daripada produk di bawah kategori automotif dan mula menjana kewangan dengan lebih aktif. Di China, Xiaomi SU7 lebih murah berbanding Tesla Model 3 yang harganya bermula AS$34,000 (RM160,576) di China.
Sumber : CarNewsChina | Sinar Harian