Audi Malaysia hari ini telah berjaya mengeluarkan model keluaran tempatan pertamanya, Audi Q7 S Line Baharu, dengan harga anggaran di antara RM469,000 hingga RM489,000. Model ini dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada bulan hadapan.
Dari segi saiz, model ini berukuran 5,089 mm panjang, 1,741 mm tinggi, 1,970 mm lebar dengan jarak roda 3,002 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 780 liter dan meningkat hingga 1,908 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

Ditawarkan dalam varian tunggal 3.0 TFSI, ia menggunakan enjin 3.0 liter turbocas TFSI V6 yang mampu menjana sebanyak 340 PS dan 500 Nm tork. Ia juga ditambah dengan sistem 48-volt mild hybrid, membolehkan kelajuan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat.

SUV 7-tempat duduk jenis Mild Hybrid Electric Vehicle (MHEV) ini telah dipasang di kilang Volkswagen Group Malaysia (VGM) yang terletak di Pekan, Pahang. Kilang ini kini menjadi satu-satunya pusat pengeluaran Audi di Asia Tenggara. Ia sebelum ini telah pun memasang model Volkswagen untuk pasaran tempatan seperti Golf, Arteon, Tiguan Allspace dan Touareg.
Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Dr Susanne Lehmann, berkata kilang ini telah dinaik taraf dengan teknologi moden dan akan terus menghasilkan produk Audi dengan kualiti, prestasi, dan kemewahan yang sama. Beliau turut menambah bahawa pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan kereta baharu, tetapi juga melambangkan visi, kerjasama, inovasi dan kemajuan.
Kilang di Pekan ini menunjukkan tahap kejuruteraan Jerman yang tinggi, mesra alam dan menggunakan teknologi pengeluaran pintar. Dalam masa akan datang, kilang ini dijangka menghasilkan sehingga 5,000 unit Audi setahun. Pelaburan lebih RM12 juta telah diperuntukkan untuk menjayakan visi ini dan mengukuhkan kedudukan Audi dalam segmen kereta mewah di Malaysia.
Pengarah Urusan PHS Automotive Malaysia, Denyu Bostandzhiev, berkata pengeluaran tempatan model-model mewah seperti Q7 membolehkan Audi menawarkan harga yang lebih kompetitif dan masa penghantaran yang lebih cepat.
Menurut beliau, dengan permintaan yang semakin tinggi terhadap SUV segmen D, inilah masa yang sesuai untuk memperkenalkan Q7 kepada pelanggan di Malaysia dan rantau ini. Q7 dijangka menjadi pelopor kepada lebih banyak model mewah Audi yang akan datang.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?