Seekor jerung nurse shark muda berukuran kira-kira satu meter berjaya dikesan di perairan Pulau Rusukan Kecil, Labuan baru-baru ini. Penemuan itu dibuat oleh ahli Kelab Menyelam Labuan, Tan Zhi Shan, ketika melakukan selaman rekreasi di Taman Laut Labuan.
Presiden Kelab Menyelam Labuan, Teoh Ming Woei, berkata kehadiran spesies jarang ditemui itu memberi petanda baik kepada ekosistem marin di kawasan tersebut. Menurutnya, penemuan ini membuktikan biodiversiti laut Labuan semakin bertambah sekali gus mengukuhkan imejnya sebagai destinasi selam yang selamat dan menarik.
Selain nurse shark, penyelam turut melaporkan kelibat jerung sirip hitam dan lizard shark di sekitar Pulau Kuraman dan Pulau Rusukan Kecil. Teoh menjelaskan spesies berkenaan tidak berbahaya kepada manusia, malah menambah keunikan pengalaman menyelam.
Beliau menambah, kemunculan anak jerung itu berkemungkinan menunjukkan perairan Labuan sesuai sebagai habitat serta kawasan pembiakan semula jadi. Justeru, pemeliharaan terumbu karang dan ekosistem laut harus terus diperkasakan.
Pulau Rusukan Kecil, sebahagian daripada Taman Laut Labuan bersama Pulau Kuraman dan Pulau Rusukan Besar, memang terkenal dengan kepelbagaian marin. Cadangan pembangunan resort baharu di kawasan ini juga dijangka meningkatkan lagi daya tarikan ekopelancongan.
Teoh berharap penemuan tersebut akan mendorong lebih ramai pihak menyokong pelancongan marin yang berterusan serta usaha melindungi alam sekitar di perairan Labuan.
Sumber: Astro Awani