Dua individu dilaporkan rentung selepas kereta jenis Toyota Vios yang mereka naiki terbabas dan terbakar di Kilometer 32, Jalan Tanjung Balau–Sedili, awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Daniel Saberi, 21 tahun, seorang anggota tentera, dan Aiza Nur Elysha Sabri, 17 tahun, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Difahamkan, kedua-duanya sudah lama mengenali antara satu sama lain dan merancang untuk bertunang pada 2 Februari tahun depan, bersempena dengan tarikh lahir bapa Muhammad Daniel.
Menurut beliau, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 4.30 pagi. Siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu oleh Muhammad Daniel dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri dan melanggar sebatang pokok kelapa sawit di kawasan kebun berdekatan, menyebabkan kereta berkenaan terbakar hampir 93 peratus.
“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan rentung di tempat kejadian. Mayat mereka dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Yusof, siasatan mendapati Muhammad Daniel sedang bercuti kerana masalah kesihatan ketika kejadian berlaku. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang jalan raya, terutamanya ketika memandu pada waktu awal pagi atau di kawasan berisiko tinggi, bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang.
Sumber: MalaysiaGazette
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?