Pembinaan jalan dan jambatan baharu yang menghubungkan Jerantut dan Lipis, Pahang kini memberi kelegaan besar kepada penduduk setempat yang sebelum ini terpaksa menggunakan laluan berisiko, terutama ketika musim hujan.
Projek yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ini dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk.
Menurut Pengarah Menang Idaman Sdn. Bhd. (MISB), Mohd. Tarmizi Mohd. Zuki, projek ini akan menghubungkan empat kampung iaitu Kampung Labu, Kampung Batu Balak, Kampung Gemunchur, dan Kampung Mela.
“Jarak perjalanan yang dulu sekitar 60 kilometer dan ambil masa sejam kini hanya 17 kilometer dan boleh ditempuh dalam 15 minit sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Projek di bawah seliaan KKDW dan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu juga siap lebih awal daripada jadual dan telah dibuka kepada orang ramai pada 31 Ogos lalu.
Tambahnya lagi, kerja pembinaan turut berdepan cabaran seperti jambatan sementara yang runtuh tiga kali akibat bencana alam, namun pasukan pembinaan kekal komited untuk menyiapkan struktur sebenar yang lebih kukuh dan selamat.
Selain memudahkan pergerakan penduduk, projek ini juga mewujudkan laluan pelancongan baharu yang menghubungkan Taman Negara Kuala Tahan ke Cameron Highlands melalui Kuala Lipis sekali gus membuka lebih banyak peluang pembangunan di kawasan tersebut.
Sumber: KOSMO!
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?