Tular Perodua Bezza Jadi Kereta Peronda Rasmi Polis PNG, Cipta Kebanggaan Baharu Buat Malaysia

Tular Perodua Bezza Jadi Kereta Peronda Rasmi Polis PNG, Cipta Kebanggaan Baharu Buat Malaysia

Rakyat Malaysia kini mempunyai satu lagi sebab untuk berbangga apabila Perodua Bezza, sedan bajet popular keluaran tempatan, dilaporkan telah dipilih sebagai kenderaan peronda rasmi polis Papua New Guinea (PNG).

Beberapa gambar yang tular di media sosial menunjukkan barisan kereta Bezza berwarna putih lengkap dengan pelekat dan lampu siren polis di atas bumbung, dipercayai digunakan oleh Royal Papua New Guinea Constabulary (RPNGC).

Fenomena itu mencetuskan rasa bangga dan keterujaan dalam kalangan netizen Malaysia, yang tidak menyangka “anak tempatan” kini digunakan sebagai kereta peronda rasmi di negara luar.

“Dari Grab ke patrol car, Bezza memang serba boleh!” tulis seorang pengguna di platform X, sambil berkongsi foto kenderaan berkenaan.

Menurut laporan, model Bezza yang digunakan oleh polis PNG merupakan versi eksport yang dikeluarkan khas untuk pasaran luar Asia Tenggara. Model itu dipercayai dipilih kerana penjimatan bahan api yang tinggi, daya tahan lasak dan kos penyelenggaraan yang rendah.

Ramai juga menganggap perkembangan ini sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap kejuruteraan automotif Malaysia, malah ada yang mencadangkan agar kerajaan memberi penghargaan khas kepada Perodua atas kejayaan “diplomasi Bezza” tersebut.

“Bangga betul! Negara luar pun percaya dengan produk Malaysia. Lepas ni kalau nampak Bezza tepi jalan, hormat sikit — mungkin itu kereta polis PNG,” kata seorang lagi pengguna media sosial dengan nada gurauan. – Kosmo!

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD