Mangsa Banjir Di Lima Negeri Terus Bertambah, Kelantan Kekal Paling Terjejas

Mangsa Banjir Di Lima Negeri Terus Bertambah, Kelantan Kekal Paling Terjejas

Jumlah mangsa banjir di lima negeri terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 5,053 orang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), dengan Kelantan mencatatkan angka tertinggi setakat jam 1.40 tengah hari Ahad.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 4,421 mangsa daripada 1,702 keluarga di Kelantan terpaksa dipindahkan, meningkat ketara berbanding 1,970 mangsa yang direkodkan pada jam 9.56 pagi.

Empat daerah paling terjejas ialah:

  • Tumpat – 2,273 mangsa

  • Kota Bharu – 1,079 mangsa

  • Bachok – 975 mangsa

  • Pasir Puteh – 7 mangsa

Sebanyak 22 PPS dibuka di negeri itu, meliputi 11 di Kota Bharu, enam di Tumpat, empat di Bachok dan satu di Pasir Puteh.

Di Terengganu, jumlah penduduk terjejas turut meningkat kepada 548 orang daripada 139 keluarga di Kuala Nerus dan Besut. Seramai 342 mangsa kini berada di sebuah PPS di Kuala Nerus, manakala 213 lagi ditempatkan di dua PPS di Besut.

Sementara itu, Kedah melaporkan 40 mangsa daripada 15 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Kulim.

Perlis dan Pulau Pinang turut mengaktifkan PPS masing-masing, namun jumlah terkini mangsa sedang dikemas kini oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, MetMalaysia meramalkan hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya di lima daerah di Kelantan sehingga Selasa. Daerah terbabit ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

Sumber: Sinar Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD