PROTON Menentang Trend Pasaran, Jualan 2025 Cecah 157,976 Unit. Eksport Tertinggi Dalam 13 Tahun

PROTON Menentang Trend Pasaran, Jualan 2025 Cecah 157,976 Unit. Eksport Tertinggi Dalam 13 Tahun

Subang Jaya, 2 Januari 2026 – Pengeluar kereta nasional, PROTON, menutup tirai tahun 2025 dengan prestasi memberangsangkan apabila mencatatkan jumlah jualan sebanyak 157,976 unit, meningkat 3.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, meskipun pasaran automotif negara mencatat penyusutan.

Prestasi positif ini turut menyaksikan pegangan pasaran PROTON meningkat kepada 19.5 peratus, naik 0.8 peratus dalam keadaan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dianggarkan menguncup 1.6 peratus kepada 803,899 unit.

Model Ikonik Terus Mendominasi

Kejayaan PROTON dipacu oleh prestasi kukuh barisan model utamanya. Proton Saga merekodkan jualan tertinggi sejak 2011 dengan 73,338 unit setakat tahun ke tarikh (YTD), manakala Proton X50 mengekalkan kedudukan sebagai SUV segmen-B No.1 untuk lima tahun berturut-turut dengan jualan 28,046 unit pada 2025.

Dalam segmen lain, Proton X70 kekal sebagai SUV segmen-C paling berjaya sejak diperkenalkan, Proton S70 mendominasi segmen sedan-C bawah RM100,000 selama 15 bulan berturut-turut, manakala Proton X90 terus menerajui segmen SUV-D.

Bagi kenderaan elektrik pula, Proton e.MAS 7 mengukuhkan kedudukannya sebagai EV No.1 di Malaysia, mengekalkan tempat teratas selama lima bulan berturut-turut pada 2025.

Eksport Tertinggi Dalam 13 Tahun

Melalui Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB), PROTON mencatat pencapaian eksport tertinggi sejak 2013 dengan 6,000 unit, meningkat 26 peratus berbanding 2024. Mesir muncul sebagai pasaran eksport terbesar, diikuti Vietnam, manakala Singapura menjadi pasaran luar negara ketiga PROTON menerusi pelancaran Proton e.MAS 7.

Kilang EV Khusus Pertama Negara

Dalam usaha memperkukuh kedudukan dalam era elektrifikasi, PROTON melancarkan kilang EV khusus pertama Malaysia di Tanjong Malim pada September 2025. Kilang bernilai RM47 juta itu mempunyai kapasiti awal 20,000 unit setahun dan bakal menjadi pusat pengeluaran utama model EV PROTON termasuk e.MAS 7 dan e.MAS 5.

Fokus Jangka Panjang & Ekosistem Automotif

PROTON turut menamatkan operasi pengeluaran di Shah Alam selepas 40 tahun dan memusatkan operasi di Automotive High-Tech Valley (AHTV), Tanjong Malim. Selain itu, syarikat membelanjakan RM3.2 bilion kepada pembekal tempatan sepanjang 2025 bagi menyokong ekosistem automotif dan peralihan kepada komponen EV.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong, tahun 2025 merupakan pencapaian penting yang bukan sahaja mencatat prestasi jualan terbaik sejak 2017, malah membina asas kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang.

“Dengan penumpuan operasi di Tanjong Malim serta kepimpinan dalam segmen EV menerusi jenama e.MAS, PROTON akan terus memainkan peranan utama dalam industri automotif Malaysia,” katanya.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD