KUALA LUMPUR, 15 Januari 2026 – BMW Group Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju kenderaan elektrik premium di negara ini dengan pelancaran dua model serba baharu, iaitu BMW i5 eDrive40 M Sport Pro Serba Baharu pemasangan tempatan (CKD) dan BMW iX1 eDrive20L M Sport Serba Baharu.
Pelancaran ini mencipta sejarah tersendiri apabila BMW i5 eDrive40 M Sport Pro menjadi model BMW serba elektrik pertama yang dipasang secara tempatan di Malaysia, sekali gus yang pertama seumpamanya di rantau Asia-Pasifik.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel, berkata pencapaian ini menandakan satu detik penting dalam perjalanan elektrifikasi BMW di Malaysia.
“Pemasangan tempatan BMW i5 eDrive40 M Sport Pro bukan sekadar pelancaran model baharu, tetapi bukti komitmen jangka panjang kami terhadap pembangunan ekosistem kenderaan elektrik negara. Ia turut mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab pembuatan dan inovasi kenderaan elektrik premium di peringkat serantau,” katanya.

Sebagai sedan eksekutif serba elektrik, BMW i5 eDrive40 M Sport Pro menampilkan gabungan keanggunan, teknologi terkini dan prestasi tinggi. Model ini menggunakan teknologi BMW eDrive generasi kelima yang dipertingkatkan, menawarkan jarak pemanduan antara 513 hingga 627 km (WLTP) dengan satu cas penuh.

Dari segi prestasi, motor elektrik pacuan roda belakang menghasilkan 340 hp dan 430 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 6 saat dengan kelajuan maksimum 193 km/j. Sistem Suspensi Adaptif Profesional bersama Stereng Aktif Integral turut disertakan sebagai ciri standard bagi meningkatkan kestabilan dan pengendalian.
Bahagian luaran menyerlahkan identiti sporty menerusi gril BMW Iconic Glow Shadowline, lampu hadapan LED Adaptif, rim aerodinamik M 20 inci, brek M Sport serta spoiler belakang M. Kapasiti but mencecah 490 liter, sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jauh.

Di dalam kabin, tumpuan diberikan kepada BMW Curved Display yang menggabungkan paparan instrumen 12.3 inci dan skrin sentuh 14.9 inci, bersama BMW Interaction Bar dan sistem bunyi premium Bowers & Wilkins 655W. Tempat duduk sport elektrik, bumbung kaca panorama, pendingin hawa empat zon serta upholsteri kulit Merino BMW Individual menambah elemen mewah dan keselesaan.

Dari aspek pengecasan, BMW i5 menyokong pengecasan AC sehingga 22 kW (0–100% dalam 4 jam 15 minit) serta pengecasan pantas DC sehingga 205 kW, membolehkan bateri dicas dari 10 ke 80 peratus dalam hanya 34 minit.

Turut diperkenalkan ialah BMW iX1 eDrive20L M Sport Serba Baharu, versi jarak roda panjang bagi SAV elektrik kompak BMW. Dengan jarak roda dipanjangkan 110 mm, model ini menawarkan ruang kaki dan lutut belakang yang jauh lebih selesa, sesuai untuk kegunaan keluarga.
BMW iX1 eDrive20L dikuasakan motor elektrik pacuan hadapan dengan 204 hp dan 250 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 8.6 saat serta jarak pemanduan sehingga 433 km (WLTP). Bateri 66.5 kWh menyokong pengecasan pantas DC sehingga 130 kW, dengan masa 10–80 peratus hanya 32 minit.

Bahagian dalaman dilengkapi BMW Operating System 9, Head-Up Display, sistem audio Harman Kardon, tempat duduk sport elektrik dan bumbung panorama tanpa tiang tengah – antara ciri unik dalam segmen ini.

Kedua-dua model hadir dengan sistem bantuan pemanduan dan parkir komprehensif, termasuk Driving Assistant Plus, Parking Assistant Plus, Paparan 3D Kawalan Jauh serta BMW Drive Recorder.
BMW Group Malaysia turut menawarkan program BMW Service Inclusive (BSRI) yang merangkumi waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun, perlindungan servis sehingga enam tahun untuk kenderaan elektrik serta jaminan bateri voltan tinggi selama lapan tahun.

Pelancaran BMW i5 eDrive40 M Sport Pro CKD dan BMW iX1 eDrive20L M Sport bukan sahaja memperkukuh barisan kenderaan elektrik BMW di Malaysia, malah menandakan langkah besar negara ini dalam landskap mobiliti elektrik premium serantau. Dengan kombinasi prestasi, teknologi dan keselesaan, BMW Group Malaysia jelas bersedia memenuhi permintaan pasaran EV yang semakin berkembang.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?