PROTON Lancar S70 Model Tahun 2026, Kali Ini Dengan Enjin 4 Silinder! Harga Dari RM73,800

PROTON Lancar S70 Model Tahun 2026, Kali Ini Dengan Enjin 4 Silinder! Harga Dari RM73,800

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) secara rasmi memperkenalkan Proton S70 model tahun 2026, menampilkan penambahbaikan menyeluruh dari aspek prestasi, reka bentuk dan teknologi, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai sedan sporty dalam segmen C.

Di Semenanjung Malaysia, Proton S70 2026 ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM73,800 untuk varian Executive. Ia diikuti varian Premium pada RM79,800, Flagship (RM89,800) dan Flagship X pada harga RM94,800.

Dibangunkan berteraskan falsafah “Intelligence that Evolves”, model ini direka bagi memenuhi keperluan profesional muda serta keluarga yang sedang beralih ke fasa kehidupan seterusnya, dengan penekanan terhadap pengalaman pemanduan yang lebih matang, selesa dan diyakini.

Sejak pelancarannya, Proton S70 mencatat prestasi jualan memberangsangkan dengan lebih 38,000 unit terjual, menjadikannya pilihan popular dalam kalangan pembeli kereta pertama dan pemilik kenderaan yang ingin menaik taraf, khususnya golongan muda.

Proton S70 2026 terus menggunakan enjin i-GT 1.5 liter empat silinder turbo yang dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan (7DCT). Gabungan ini menghasilkan kuasa 181 PS dan tork 290 Nm, membolehkan pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 7.5 saat, dengan penggunaan bahan api sekitar 5.7 liter bagi setiap 100 kilometer.

Menurut PROTON, sistem pacuan yang dipertingkatkan memberikan penukaran gear lebih lancar dan responsif, di samping membantu mengurangkan kos operasi jangka panjang. Pembangunan sistem ini dilakukan bersama rakan strategik global, Geely, dengan penggunaan teknologi turbo inersia rendah, pengurangan geseran serta ujian ketahanan menyeluruh bagi meningkatkan prestasi, kebolehpercayaan dan tahap NVH.

Pengendalian kenderaan turut dipertingkatkan menerusi talaan ride and handling dalaman PROTON, perisian Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) yang ditambah baik serta mod pemanduan boleh pilih, bagi memastikan kestabilan optimum sama ada di kawasan bandar atau lebuh raya.

Gambar Daripada PAULTAN.ORG

Dari segi luaran, Proton S70 2026 tampil lebih segar dengan lampu hadapan baharu, rim aloi 17 inci rekaan terkini, lampu belakang LED bar penuh dengan kesan pencahayaan berirama, selain aerokit yang dijadikan ciri standard untuk varian tertinggi.

Gambar Daripada PAULTAN.ORG

Ruang kabin pula menampilkan suasana moden dengan tema hitam, penggunaan material yang dipertingkatkan, suis tingkap berlampu dengan kemasan perak serta rekaan dalaman yang lebih dinamik. Susun atur ergonomik turut dioptimumkan bagi keselesaan pemanduan harian dan perjalanan jarak jauh.

Antara ciri utama ialah sistem infotainmen terapung bersaiz 12.3 inci beresolusi Full HD yang kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Sistem ini turut dilengkapi fungsi kawalan suara ‘Hi PROTON’ untuk mengendalikan navigasi, hiburan, penyaman udara dan tetapan kenderaan. Kemudahan lain termasuk lima port USB (termasuk Type-C), pengecas tanpa wayar serta sambungan data dalam kereta.

Dari sudut keselamatan, Proton S70 2026 dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi 13 fungsi keselamatan, antaranya Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive dan Intelligent Cruise Control, Lane Keep Assist, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert serta Intelligent High Beam Control.

Ia juga didatangkan dengan kamera 360 darjah resolusi tinggi dengan paparan 3D, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) serta ciri keselamatan pasif yang menyeluruh.

Gambar Daripada PAULTAN.ORG

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Rashid Musa berkata, Proton S70 baharu mencerminkan visi syarikat terhadap sebuah sedan sporty nasional yang memenuhi cita rasa pembeli muda.

“Dengan peningkatan ketara dari segi prestasi, gaya dan ketersambungan, S70 menawarkan pengalaman pemilikan yang berkembang seiring keperluan pelanggan, sambil mengekalkan nilai dan keseronokan pemanduan harian,” katanya.

Sebagai tawaran istimewa, PROTON menyediakan Pakej Pelancaran Khas kepada 2,000 pelanggan terawal yang mendaftarkan kenderaan sebelum 31 Mac 2026, termasuk rebat tunai RM5,000.

Selepas rebat, harga Proton S70 di Semenanjung Malaysia bermula RM68,800 bagi varian Executive, RM74,800 (Premium), RM84,800 (Flagship) dan RM89,800 (Flagship X). Bagi Malaysia Timur, harga masing-masing ialah RM70,800, RM76,800, RM86,800 dan RM91,800.

Setiap pembelian turut disertakan dengan Pro-Warranty lima tahun tanpa had perbatuan, enam kali servis buruh percuma, Pro-Connect dengan pakej data lima tahun, kemudahan pembiayaan Pro-Finance sehingga sembilan tahun serta Pro-Xchange dengan sokongan tukar beli sehingga RM4,000.

Selain itu, pelanggan boleh memilih pelan insurans Pro-Shield yang menawarkan perlindungan tambahan termasuk bencana alam, bantuan banjir, perlindungan kemalangan diri penumpang serta bantuan tepi jalan 24 jam.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD