NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Proton e.MAS 5 EV Nombor Satu Malaysia

Proton e.MAS 5 EV Nombor Satu Malaysia

Proton e.MAS 5 EV nombor satu Malaysia kini terbukti menerusi rekod jualan luar biasa yang mencecah lebih 5,000 unit dalam tempoh dua bulan pertama 2026 sahaja.

Pencapaian menakjubkan ini secara drastik meletakkan e.MAS 5 sebagai kenderaan elektrik (EV) paling laris di pasaran tempatan, sekali gus memintas pesaing global yang lain.

Lebih membanggakan, 1 daripada setiap 2 EV yang dijual pada 2026 adalah model Proton e.MAS, menjadikannya jenama EV nombor satu di negara ini.

Kejayaan luar biasa ini bukan berlaku secara kebetulan. Ia mencerminkan tahap kepercayaan tinggi pengguna terhadap ekosistem komprehensif yang telah dibina oleh PRO-NET.

Faktor penentu seperti rangkaian sokongan selepas jualan yang kukuh serta akses pengecasan yang luas telah mewujudkan satu standard baharu yang sukar ditandingi oleh jenama pesaing, sekali gus memberikan ketenangan minda sepenuhnya kepada pemilik e.MAS 5 di seluruh negara.

Fenomena ini bukan sekadar trend bermusim, sebaliknya merupakan isyarat jelas bahawa kombinasi reka bentuk kompak, fungsi praktikal, dan harga kompetitif mampu memecahkan dominasi pasaran EV premium.

Kehadiran e.MAS 5 bukan sahaja menawarkan alternatif, malah menjadi pemangkin utama dalam mempercepatkan transisi pengguna kali pertama ke arah mobiliti elektrik yang lebih mampan di Malaysia.

Dari segi harga, Proton e.MAS 5 ditawarkan bermula RM56,800 untuk varian Prime dan RM69,800 untuk varian Premium yang menawarkan spesifikasi yang lazimnya hanya ditemui pada model bernilai RM100,000 ke atas.

Bagi pembeli yang berminat, rebat menarik bernilai RM500 turut tersedia untuk setiap pembelian sehingga 23 Mac ini, sebagai peluang terbaik bagi rakyat Malaysia memulakan transisi ke arah kenderaan mesra alam.

Nilai pemilikan ini memberikan kelebihan nyata dalam aspek reka bentuk, keselamatan dan teknologi, selari dengan keperluan keluarga moden yang menitikberatkan kualiti hidup, kewangan berhemah dan kemudahan harian.

Penerimaan positif terhadap e.MAS 5 turut diakui oleh pemilik sebenar. Sharifah Nurathila Kartika Sari, 37 tahun, yang sudah menggunakan e.MAS 5 varian Premium selama tiga bulan mendedahkan pengalamannya yang memuaskan.

“Pengalaman pemanduannya setakat ini memuaskan dan hampir sama guna kereta enjin pembakaran dalam (ICE) dan dengan jarak perjalanan harian ke pejabat sekitar 30 kilometer (km), saya hanya perlu cas kendaraan setiap empat hari sekali, bergantung kepada gaya pemanduan. Walaupun tiada pengecas di rumah, pemilikan EV tetap praktikal dengan memanfaatkan rangkaian pengecasan awam dan saya kerap guna pengecas pantas (DC) yang hanya ambil masa 30 minit untuk pengecasan dari 20% sehingga 100% dengan kos RM45. Selain faktor kos, saya hargai kualiti pemanduan lancar, sistem pendingin hawa yang sejuk, serta ruang dalaman yang praktikal dan selesa, terutama apabila membawa penumpang warga tua,” katanya.

Dari aspek prestasi, Proton e.MAS 5 dibina berasaskan platform GMA (Global Modular Architecture) yang memberi keseimbangan optimum antara kuasa dan kecekapan.

Ia dijana motor elektrik tunggal pada gandar hadapan yang mampu menghasilkan kuasa mencecah 116 PS (85 kW) dan tork setinggi 150 Nm, membolehkan pemanduan responsif terutama dalam situasi trafik bandar.

Bagi sistem storan tenaga, e.MAS 5 menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) daripada pembekal utama dunia, CATL. Varian Prime dilengkapi bateri berkapasiti 30.12 kWj menawarkan jarak gerak sehingga 225 km (WLTP), manakala varian Premium hadir dengan kapasiti lebih besar iaitu 40.16 kWj yang mampu mencapai jarak gerak sehingga 325 km (WLTP) dengan sekali cas penuh.

Dari segi penampilan, Proton e.MAS 5 tampil dengan konsep moden dan minimalis yang memberikan imej kenderaan masa hadapan. Identiti elektriknya terserlah melalui rekaan hadapan tertutup sepenuhnya tanpa gril tradisional, diapit unit lampu LED tajam untuk pencahayaan lebih efisien.

Garisan badan yang kemas dan aerodinamik bukan sahaja bertujuan estetika, malah berfungsi mengurangkan rintangan angin bagi mengoptimumkan kecekapan bateri sepanjang pemanduan.

Saiznya yang kompak menjadikannya jentera yang sangat lincah untuk mencelah dalam kesesakan kota dan mudah diletakkan di ruang parkir yang sempit.

Walaupun bersaiz kompak, ruang kabin e.MAS 5 menawarkan keluasan mengagumkan dengan jarak roda 2,650mm, setanding dengan model dalam segmen-C. Suasana premium jelas terasa melalui papan pemuka minimalis dipadankan dengan stereng dwi-tona, tuil gear kristal, serta kemasan tempat duduk kulit yang mewah.

Dengan ruang kaki dan kepala yang lapang, setiap perjalanan dijanjikan keselesaan tahap tertinggi buat pemandu dan penumpang.

Dari aspek storan, e.MAS 5 menyediakan sebanyak 32 ruang simpanan pelbagai guna yang amat dihargai pengguna, khususnya golongan wanita. Bagi keperluan kargo, model ini menyediakan frunk (but depan) sebesar 70 liter serta ruang but belakang 375 liter yang boleh dikembangkan hingga 1,320 liter, memberi fleksibiliti penuh untuk gaya hidup aktif.

e.MAS 5 turut dilengkapi skrin infotainmen 14.6 inci FHD yang menyokong Apple CarPlay, Android Auto, serta sistem pesanan suara dwibahasa melalui ATLAS Auto OS.

Integrasi aplikasi Proton e.MAS membolehkan pemilik memantau status kenderaan dari jauh, termasuk fungsi pra-penyejukan kabin yang sangat relevan dengan iklim panas di Malaysia.

Dari aspek keselamatan, e.MAS 5 dilengkapi enam beg keselamatan udara dan 12 ciri Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) seperti Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC) dan Pengesan Titik Buta (BSD), ditambah kamera 360 darjah dengan paparan 3D yang memberi keyakinan penuh kepada pemandu baharu mahupun yang berpengalaman.

Faktor ekonomi menjadi antara pemacu utama mengapa e.MAS 5 begitu pantas memenangi hati pengguna Malaysia. Berdasarkan analisis perbandingan kos pemilikan selama 10 tahun, pemilik e.MAS 5 berpotensi menikmati penjimatan kumulatif sehingga RM29,796.60 berbanding kenderaan hatchback enjin pembakaran dalaman (ICE) dalam segmen yang sama.

Jurang penjimatan paling ketara dapat dilihat dalam aspek kos tenaga. Dengan memanfaatkan tarif elektrik luar waktu puncak sebanyak RM0.4183/kWj, kos pengecasan e.MAS 5 bagi perbatuan 2,000km sebulan dianggarkan hanya RM12,448.80 untuk 10 tahun.

Ini jauh lebih rendah berbanding kos bahan api kereta petrol yang mencecah RM38,208.00, sekali gus menyumbang penjimatan purata sekitar RM2,575.92 setiap tahun.

Dari aspek penyelenggaraan pula, e.MAS 5 hanya memerlukan servis berkala sekali setahun atau setiap 20,000km, berbanding kereta petrol yang lazimnya memerlukan servis dua kali setahun atau setiap 10,000km.

Kos penyelenggaraan e.MAS 5 sepanjang 10 tahun dianggarkan hanya sekitar RM2,700, jauh lebih jimat berbanding kos penyelenggaraan hatchback petrol segmen serupa yang mencecah RM6,737.40.

Secara keseluruhannya, Proton e.MAS 5 bukan sekadar EV mampu milik, malah penyelesaian mobiliti pintar yang memenuhi keperluan keluarga moden Malaysia.

Melalui sokongan ekosistem komprehensif daripada PRO-NET, pemilikan EV kini lebih meyakinkan dengan jaminan keselamatan, teknologi termaju, dan penjimatan kos yang nyata.

Sumber : Harian Metro

Aisyah Rafiza

Aisyah Rafiza adalah jambatan korporat utama NAZZ&CO™ Media. Sebagai Eksekutif Perhubungan Awam (PR) & Penganalisis Strategik, beliau menguruskan hubungan klien berprofil tinggi serta unjuran strategik bagi memastikan setiap visi syarikat disampaikan dengan integriti dan kejelasan mutlak kepada pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy