NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

85 Peratus Bil Elektrik Isi Rumah Kekal Stabil Susulan Krisis Tenaga Global

85 Peratus Bil Elektrik Isi Rumah Kekal Stabil Susulan Krisis Tenaga Global

Kira-kira 85 peratus isi rumah domestik di Malaysia dilaporkan tidak akan mengalami kesan besar terhadap bil elektrik mereka, meskipun harga gas asli dan arang batu dunia kini sedang bergolak akibat krisis di Asia Barat.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Siti Safinah Salleh, menjelaskan bahawa kestabilan ini berpunca daripada struktur bekalan gas asli negara yang sebahagian besarnya masih bergantung kepada sumber domestik.

Menurut beliau, sebanyak 80 peratus daripada kos gas asli bagi penjanaan elektrik negara buat masa ini telah ditetapkan atau diikat kepada bekalan domestik. Manakala baki 20 peratus lagi adalah sumber import yang mendedahkan negara kepada turun naik harga pasaran dunia.

Struktur ini secara tidak langsung melindungi kos penjanaan elektrik daripada impak langsung krisis tenaga global yang sedang berlaku.

Kestabilan bil elektrik bagi majoriti rakyat juga disokong oleh pengekalan konsep Insentif Cekap Tenaga bagi pengguna kediaman. Siti Safinah memaklumkan bahawa skala pengurangan bagi penggunaan elektrik sehingga 1,000 kilowatt jam kWh akan diteruskan, manakala penggunaan sehingga 600 kWh pula kekal pada tahap neutral.

“Ini bermakna 85 peratus pengguna domestik atau isi rumah akan kekal pada tahap yang agak stabil atau neutral dari segi kesan terhadap bil elektrik mereka,” jelas beliau dalam sidang media Semakan Kawal Selia Tahunan ST hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pelarasan kadar tarif tenaga elektrik dan gas tetap akan dibuat secara berkala berdasarkan kos semasa pembekalan bahan api tersebut bagi memastikan sistem tenaga negara kekal mapan.

Meskipun bil domestik stabil, Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi peningkatan kos bahan api penjanaan, terutamanya arang batu memandangkan Malaysia bergantung 100 peratus kepada sumber import arang batu, dengan 65 peratus daripadanya diperoleh dari Indonesia dan 20 peratus dari Australia.

ST mula mengesan trend peningkatan harga arang batu berikutan gangguan bekalan global.

Tambah merunsingkan, permintaan tenaga dijangka meningkat mendadak pada bulan Mei susulan cuaca panas yang melanda negara, sekali gus meningkatkan kekerapan penggunaan pendingin hawa di kediaman.

“Negara sedang menuju ke arah iklim yang lebih panas, ini bermakna permintaan akan mula meningkat dan lazimnya perkara itu akan berlaku, kita menjangkakan pada Mei. Ini akan meningkatkan tekanan jika ia mulai menggunakan banyak tenaga,” kata Siti Safinah.

Peningkatan kos bahan api ini dijangka akan diterjemahkan ke dalam sistem tenaga melalui mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik atau Automatic Fuel Adjustment (AFA). Melalui mekanisme ini, pelarasan akan dibuat secara bulanan selagi perubahan kos berada dalam ambang 10 peratus.

“Jika kos meningkat, maka pengguna perlu membayar tambahan tersebut. Pelarasan melalui AFA dibuat secara bulanan selagi perubahan kos berada dalam ambang 10 peratus. Apabila ia melebihi ambang 10 peratus itu, kita akan memohon kelulusan kerajaan,” tambah beliau lagi.

Sebagai langkah persediaan, pengguna dinasihatkan untuk mengamalkan penjimatan elektrik, membeli barangan elektrik yang cekap tenaga, serta menyemak semula corak penggunaan di rumah bagi mengelakkan kejutan kos pada masa akan datang.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD