Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menyatakan sokongan penuh terhadap penjelasan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berhubung isu pelaburan jenama asing yang menyasarkan pengukuhan ekosistem automotif negara.
Langkah tersebut disifatkan selaras dengan Dasar Automotif Negara (NAP) yang bermatlamat menarik pelaburan berkualiti tinggi demi manfaat ekonomi yang lebih menyeluruh.
Menurut PERODUA, kejelasan dasar yang konsisten adalah faktor kritikal untuk memastikan hala tuju industri kekal berdaya saing di peringkat global manakala panduan yang diberikan oleh MITI dijangka mampu mengukuhkan rantaian industri tempatan serta mewujudkan limpahan ekonomi yang signifikan kepada semua pihak berkepentingan.
Sokongan terhadap dasar ini dijangka membawa kesan rantaian yang besar kepada pembangunan negara termasuklah pewujudan peluang pekerjaan yang mampan untuk jangka masa panjang bagi rakyat tempatan serta peningkatan pelaburan yang lebih rancak dalam pembangunan prasarana industri.
Selain itu, pemerkasaan modal insan khususnya dalam bidang teknologi automotif dan kejuruteraan serta pengukuhan aspek Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) akan terus diperkasakan selaras dengan evolusi industri semasa.
PERODUA turut menekankan bahawa komitmen terhadap perkongsian teknologi dan kepakaran teknikal akan meningkatkan daya saing pemain industri tempatan di samping pembangunan usahawan tempatan termasuk vendor dan pengedar yang akan terus diberi penekanan bagi memastikan pertumbuhan yang lebih inklusif.
Visi Next Generation Vehicle (NxGV) yang digariskan dalam NAP juga dilihat sebagai peluang besar untuk rakyat Malaysia menikmati inovasi mobiliti yang lebih maju termasuk penyediaan perkhidmatan mobiliti tambahan yang menitikberatkan aspek keselamatan serta integrasi teknologi berasaskan internet bagi memenuhi keperluan semasa pengguna.
Secara keseluruhannya, PERODUA memuji usaha kerajaan dalam menyeimbangkan antara kemajuan industri tempatan dengan keterbukaan pasaran melalui dasar dan pelan hala tuju yang komprehensif, telus, dan konsisten bagi semua pemain industri.
Pendekatan progresif ini dilihat sebagai kunci utama untuk memastikan industri automotif negara terus berkembang dan kekal relevan dalam menghadapi cabaran teknologi masa hadapan.
Sumber: Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?