NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Sekatan Kad Kredit Asing RON95 Pam Minyak Layan Diri

Sekatan Kad Kredit Asing RON95 Pam Minyak Layan Diri

Sekatan kad kredit asing RON95 pam minyak layan diri April 2026 kini dikuatkuasakan secara berperingkat di seluruh negara bermula hari ini. Sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkasa mekanisme pemberian subsidi bahan api susulan krisis tenaga global yang semakin memberi tekanan.

Langkah terbaharu ini menyekat pengguna daripada menggunakan kad kredit dan kad debit asing di terminal layan diri pam minyak bagi pembelian petrol RON95 bersubsidi.

Tinjauan di beberapa negeri mendapati Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) giat melaksanakan operasi penguatkuasaan dan pemantauan di stesen minyak. Pengusaha stesen minyak juga dilihat sudah bersedia dan mematuhi peraturan baharu ini.


Sarawak: 283 Stesen Minyak Dalam Pantauan Ketat

Di Sarawak, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam turun padang sendiri melakukan tinjauan pelaksanaan peraturan baharu ini di Tasik Biru, Bau, kira-kira 25 kilometer dari bandar raya Kuching. Beliau memuji kerjasama yang diberikan oleh pengusaha stesen minyak di Sarawak terhadap pelaksanaan kawalan pengisian petrol dan diesel sebagai sangat baik.

Namun Azman turut mengenal pasti beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat kepada orang ramai.

“Antara cadangan termasuk memperbesar paparan arahan berkaitan had pengisian petrol dan diesel di stesen minyak supaya lebih jelas dan mudah difahami pengguna, selain penggunaan bahan komunikasi berbentuk grafik agar penyampaian maklumat lebih menarik dan berkesan,” katanya.

Sebanyak 283 stesen minyak di seluruh Sarawak akan terus dipantau bagi memastikan pematuhan penuh terhadap garis panduan terbaharu ini.

Johor: 180 Penguat Kuasa Digerakkan, 639 Stesen Dipantau

Pengarah KPDN negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo memaklumkan bahawa seramai 180 penguat kuasa telah digerakkan untuk melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan, khususnya di kawasan titik panas dan pintu sempadan negeri itu.

“Selain itu, kita turut menempatkan penguat kuasa secara statik di lokasi strategik dan melaksanakan pemeriksaan mengejut secara berkala,” katanya kepada Bernama selepas meninjau penguatkuasaan di stesen minyak di Johor Bahru.

Pemantauan di semua 639 stesen minyak di Johor akan terus dipertingkatkan menerusi rondaan harian, termasuk melakukan hebahan serta peringatan kepada pemilik kenderaan asing mengenai penguatkuasaan terbaharu ini.

Jualan RON97 di Bukit Kayu Hitam Melambung Dua Kali Ganda Akibat Krisis Asia Barat
Kelantan: Pengusaha Stesen Sambut Baik Langkah Kerajaan

Di Kelantan, pengurus sebuah stesen minyak di Kampung Belukar, Tumpat, Ku Muhammad Farid Aidil Ku Din berkata semua petugas di stesen itu sudah diberi taklimat penuh berhubung penguatkuasaan tersebut dan tiada sebarang masalah dalam pelaksanaannya.

“Kami tidak berdepan sebarang masalah untuk melaksanakannya. Langkah yang diambil kerajaan ini sangat kami alu-alukan dalam memastikan RON95 dapat dinikmati rakyat tempatan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Tinjauan Bernama di beberapa stesen minyak di Kelantan turut mendapati penguat kuasa KPDN giat melakukan pemantauan secara berkala di semua stesen minyak sejak awal pagi tadi, terutama di lokasi berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Kedah: Ops Tiris 4.0 Libatkan Pelbagai Agensi

Di Kedah pula, Pengarah KPDN negeri, Muhammad Nizam Jamaludin memaklumkan bahawa seramai 180 pegawai penguat kuasa ditugaskan bagi melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan. Operasi ini turut melibatkan kerjasama bersepadu dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain melalui Ops Tiris 4.0.

Tinjauan di beberapa stesen minyak di Changlun mendapati tiada kenderaan asing yang dilihat mengisi petrol RON95. Seorang pengusaha stesen minyak di kawasan itu, Mohamad Niekmat Ariffin berkata semua pekerjanya telah dimaklumkan sepenuhnya mengenai arahan penguatkuasaan terbaharu ini.

“Kita juga melakukan pemantauan dan mengawal jualan minyak untuk elak penyalahgunaan, contoh isian ke tong tanpa permit melebihi 20 liter,” katanya.

Perlis: Pengusaha Ambil Inisiatif Tampal Notis Di Pam Petrol

Di Perlis, rata-rata pengusaha stesen minyak dilihat cakna dan mematuhi arahan sekatan penjualan menggunakan kad kredit dan kad debit asing di terminal layan diri. Malah ramai antara mereka mengambil inisiatif sendiri dengan membuat hebahan melalui notis yang ditampal terus di pam petrol.

Pengarah KPDN Perlis, Rohaida Hassan yang turut menyertai operasi pemeriksaan hari ini berkata majoriti pengusaha stesen minyak sudah memahami dan mematuhi peraturan baharu ini. Sebanyak 40 stesen minyak di seluruh Perlis akan dipantau setiap hari pada waktu siang dan malam, dengan tumpuan lebih kepada 10 stesen minyak yang berada di kawasan sempadan.

“Buat permulaan kita lebih kepada advokasi untuk mendidik dan memberikan penerangan tentang peraturan penggunaan kad kredit dan kad debit asing bagi kenderaan asing ini,” katanya.

Sumber: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD