KLANG – UMW Toyota Motor UMWT dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia secara rasmi memulakan Bengkel Toyota Eco Youth TEY 2026 yang berlangsung dari 30 hingga 31 Mac lalu, disusuli majlis perasmian pembukaan pada hari ini di Wyndham Acmar.
Program yang kini memasuki edisi ke 25 tersebut terus menjadi platform kebangsaan utama dalam memupuk kesedaran alam sekitar dan menggalakkan penyelesaian masalah dunia sebenar dalam kalangan pelajar sekolah menengah berumur 13 hingga 16 tahun.
Sejak permohonan dibuka awal tahun ini, sebanyak 327 penyertaan telah diterima dari sekolah menengah di seluruh Malaysia, yang mencerminkan semangat tinggi para pelajar untuk menangani isu alam sekitar di komuniti masing-masing.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30 buah sekolah telah disenarai pendek untuk fasa pelaksanaan projek dan penyertaan dalam bengkel intensif.
Setiap sekolah yang terpilih akan menerima geran berjumlah RM3,000 setiap satu, menjadikan jumlah keseluruhan geran pelaksanaan sebanyak RM90,000.
Peruntukan ini bertujuan menyokong kaedah pembelajaran secara praktikal di mana pelajar digalakkan untuk menguji idea mereka dalam persekitaran sebenar dan memperhalusinya melalui pelaksanaan yang tersusun.
Selain geran pelaksanaan, TEY 2026 turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM80,000, menjadikan jumlah dana keseluruhan program mencecah RM170,000.
Antara anugerah utama yang dipertaruhkan termasuklah RM30,000 bagi tempat pertama, RM20,000 bagi tempat kedua, dan bagi tempat ketiga RM10,000.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K. menyatakan bahawa melalui program ini, pelajar bukan sahaja belajar tentang isu alam sekitar tetapi turut membina kemahiran, keyakinan, dan mendapat sokongan mentor untuk mengambil tindakan bermakna.
Beliau turut berbangga kerana TEY berjaya memperkasakan agen perubahan muda ini untuk menterjemah idea mereka kepada projek yang nyata dan boleh diukur bagi memberikan impak berterusan kepada komuniti.
Sepanjang fasa bengkel, pelajar dan guru penasihat akan menerima bimbingan serta mentorat secara langsung untuk memperhalusi projek masing-masing serta menetapkan pelan pelaksanaan yang sistematik.
Program ini mencabar pelajar untuk mengenal pasti isu alam sekitar tempatan menggunakan Metodologi Penyelesaian Masalah Toyota yang tersusun.
Selepas penilaian di tapak projek dan semakan kemajuan dijalankan, 15 sekolah terbaik akan dipilih untuk mara ke peringkat akhir pada Konvensyen dan Pameran TEY 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 4 November 2026.
Di peringkat tersebut, mereka akan bersaing untuk merebut hadiah utama program dan membuktikan komitmen mereka dalam memacu perubahan mampan di Malaysia.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?