NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

3 Model Toyota BEV Malaysia Mendarat Serentak! (Urban Cruiser, bZ4X & Hilux EV)

3 Model Toyota BEV Malaysia Mendarat Serentak! (Urban Cruiser, bZ4X & Hilux EV)

Hari ini pasti menjadi satu detik bersejarah buat industri automotif tempatan apabila UMW Toyota Motor (UMWT) secara rasminya menggegarkan pasaran dengan melancarkan tiga model BEV serentak. 

Dalam satu acara pelancaran yang bertempat di Sunway Pyramid Convention Centre, Toyota membuktikan mereka kini benar-benar serius untuk merancakkan pasaran EV tempatan melalui pendekatan strategik “Multi-Pathway” demi mencapai neutraliti karbon.

Tiga model baharu ini merangkumi pelbagai segmen iaitu Toyota Urban Cruiser yang sesuai untuk kegunaan bandar, Toyota bZ4X sebagai SUV premium keluarga, dan ikon lasak yang paling dinantikan, Toyota Hilux BEV. 

Toyota Urban Cruiser: Gaya Hidup ‘Urban Tech’ Yang Moden

Model ini dijangka menjadi kegilaan ramai untuk pemanduan harian di dalam bandar, iaitu Toyota Urban Cruiser. Model SUV segmen-B yang diimport sepenuhnya (CBU) dari India ini direka khusus dengan bahasa reka bentuk “Urban Tech”. 

Muka depannya tampil garang dengan gril ala “hammerhead” berserta lampu siang LED mendatar yang memberikan rupa paras futuristik. Bagi pasaran Malaysia, model ini ditawarkan pada harga bermula dari RM 220,000.00.

Dari segi nadi kuasa, Urban Cruiser tidak mengecewakan. Ia dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 128 kW (bersamaan 174 PS) yang mampu menghamburkan tork maksimum sebanyak 193 Nm. Jentera ini mengambil tenaga daripada pek bateri jenis lithium-iron phosphate (LFP) berkapasiti 61.1 kWh.

Dengan sekali cas penuh, ia membolehkan anda memandu sejauh 426 kilometer. Kalau nak jalan jauh pun tiada masalah kerana ia menyokong pengecasan pantas DC, di mana bateri boleh dicas dari 15 peratus hingga 80 peratus dalam masa lebih kurang 50 minit sahaja. 

Masuk ke ruang kabin, pemandu dihidangkan dengan skrin meter digital 10.25 inci, skrin infotainmen 10.1 inci, bumbung kaca panoramik yang mewah, serta sistem audio premium dari JBL untuk kepuasan maksimum.

Toyota bZ4X: Flagship SUV Elektrik Tanpa Kompromi

Seterusnya, beralih kepada model ‘abang besar’ iaitu Toyota bZ4X. Sesuai dengan namanya di mana “bZ” membawa maksud “Beyond Zero”, ini merupakan SUV flagship pertama Toyota yang dibina khusus menggunakan platform kenderaan elektrik sepenuhnya iaitu e-TNGA. 

Reka bentuknya jauh lebih maskulin dengan rim aloi bersaiz 20 inci, menjadikannya sebuah kenderaan yang bukan sahaja mesra alam tetapi juga mempunyai road presence yang sangat menonjol. Model premium ini boleh dimiliki dengan tanda harga bermula dari RM 226,300.00

Prestasinya juga sangat meyakinkan hasil janaan motor elektrik di gandar hadapan yang meledakkan kuasa 167 kW dan tork setinggi 269 Nm. Melalui kapasiti bateri yang lebih besar iaitu 73.1 kWh, Toyota bZ4X menawarkan jarak pelayaran sekitar 480 kilometer, dan boleh mencecah sehingga 525 kilometer mengikut spesifikasi produk.

Pengecasannya pula lebih pantas kerana ia menyokong pengecasan DC 150 kW yang membolehkan kadar bateri melonjak ke tahap 80 peratus dalam tempoh 30 minit. 

Untuk keselesaan seisi keluarga, kabin bZ4X didatangkan dengan skrin paparan tengah gergasi bersaiz 14 inci yang menyokong pengecaman suara pintar, ditambah pula dengan sistem penulenan udara termaju nanoeX.

Toyota Hilux BEV: Ikon Tahan Lasak Kini Dikuasakan Elektrik

Ini mungkin model yang paling ditunggu-tunggu oleh pemilik bisnes, kontraktor dan kaki off-road di luar sana. Bayangkan sebuah pick-up yang terkenal dengan reputasi kebal, kini hadir tanpa setitik pun bunyi enjin diesel. Toyota Hilux BEV yang dipasang di kilang Toyota Thailand ini merupakan pick-up elektrik runcit global pertama keluaran Toyota. 

Menariknya, ia masih mengekalkan platform body-on-frame yang menjadi rahsia ketahanan keluarga Hilux sejak bergenerasi lamanya. Buat anda yang berminat untuk menukar jentera komersial ke arah tenaga hijau, model ini ditawarkan pada harga bermula dari RM 198,000.00

Jangan pandang sebelah mata pada keupayaan model ini kerana ia dikuasakan oleh sistem dwi-motor (depan dan belakang) yang menghasilkan jumlah tork gabungan luar biasa iaitu 206 Nm di depan dan 267 Nm di belakang.

Sistem ini menghasilkan jumlah kuasa keseluruhan sebanyak 144 kW (196 PS). Melalui bateri bersaiz 59.2 kWh, ia menawarkan jarak pemanduan 315 kilometer mengikut kitaran NEDC. 

Bab meredah laluan ekstrem, Hilux BEV sangat cemerlang dengan sistem Multi-Terrain Select (MTS) yang merangkumi Mogul mode, keupayaan mengangkut muatan seberat 750 kilogram, serta kemampuannya meredah air sedalam 700 milimeter tanpa sebarang masalah kerisauan komponen elektrik dimasuki air.

Jaminan ‘QDR’ Toyota

Satu perkara yang selalu merisaukan pembeli kenderaan elektrik baharu adalah aspek aftersales atau khidmat selepas jualan. Namun, UMW Toyota Motor membuktikan komitmen jenama mereka yang berteraskan ‘Quality, Durability & Reliability’ (QDR) menerusi pakej waranti yang ditawarkan.

Bagi model Urban Cruiser dan bZ4X, pemilik akan menerima waranti kenderaan selama 5 tahun tanpa had perbatuan, manakala komponen bateri dan drivetrain EV dilindungi selama 8 tahun tanpa had perbatuan. 

Untuk Hilux BEV yang direka khusus bagi tugasan berat, waranti kenderaan diberikan selama 5 tahun atau 150,000 kilometer, berserta waranti bateri 8 tahun yang boleh dilanjutkan ke tahun kesembilan dan kesepuluh.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD