NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Kerajaan Laksana Dasar Bekerja Dari Rumah Bermula 15 April

Kerajaan Laksana Dasar Bekerja Dari Rumah Bermula 15 April

Mesyuarat Jemaah Menteri secara rasmi bersetuju untuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) bermula 15 April ini melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa langkah ini diambil sebagai sebahagian daripada persediaan negara menghadapi kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang semakin meruncing sejak akhir Februari lalu.

Walau bagaimanapun perincian penuh mengenai pelaksanaan dasar tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat oleh pihak kerajaan.

Selain dasar BDR Perdana Menteri turut menekankan kepentingan amalan penjimatan dalam kalangan penjawat awam dan pengurusan agensi kerajaan terutamanya sambutan Aidilfitri.

Beliau mahukan sambutan yang lebih sederhana dan terkawal bagi mencerminkan keprihatinan terhadap nasib rakyat yang masih terhimpit dengan tekanan ekonomi semasa.

“Sebelum ini kita umum akan ambil langkah awal dan ini termasuk sambutan Aidilfitri yang lebih terkawal, selain kerajaan akan mengurangkan dengan langkah penjimatan dan sambutan yang jauh lebih sederhana,” kata beliau dalam satu taklimat ringkas malam tadi.

Anwar turut memberikan peringatan tegas kepada golongan yang mempunyai kedudukan tinggi dan kekayaan supaya tidak mempamerkan kemewahan secara keterlaluan yang boleh mengguris hati golongan petani, nelayan, dan pekerja yang sedang bergelut.

Beliau menghargai mereka yang menunjukkan semangat kesederhanaan dan tidak bersikap angkuh dalam situasi yang mencabar ini.

“Saya ucap setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua yang mengikuti semangat ini dan tidak angkuh, tidak boros, tidak anggap keadaan ini biasa mempamerkan kekayaan sewenang-wenang dan menunjukkan seolah-olah tidak ada yang terkesan. Sikap ini akan merugikan kita kerana rakyat di bawah sana petani, nelayan, pekerja masih ramai yang terhimpit,” jelas beliau lagi.

Sebagai langkah bantuan tambahan kepada rakyat kerajaan juga mengumumkan penyelarasan kuota BUDI MADANI 95 kepada 200 liter sebulan bermula hari ini sebagai inisiatif sementara bagi mengurangkan beban kos pengangkutan.

Selain itu pengisian diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak, dan Labuan juga mula dikuatkuasakan bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga di wilayah tersebut.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa tindakan proaktif ini perlu diambil memandangkan kesan konflik antarabangsa yang memberi tekanan besar kepada ekonomi domestik.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD