NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Tambang RTS Link JB-Singapura Dibentangkan Suku Ketiga 2026

Tambang RTS Link JB-Singapura Dibentangkan Suku Ketiga 2026

Tambang RTS Link JB-Singapura dibincangkan suku ketiga 2026. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan bahawa cadangan kadar tambang Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura dijangka dibentangkan kepada kedua-dua kerajaan dalam tempoh tersebut.

Pendedahan ini dibuat selepas beliau melawat tapak projek di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar, Johor Bahru.

Proses Kelulusan Dua Kerajaan Diperlukan

Anthony menjelaskan bahawa pengendali perkhidmatan RTS Link, iaitu RTS Operations Pte Ltd (RTSO), akan mengemukakan cadangan kadar tambang untuk mendapatkan persetujuan kedua-dua pihak.

Pembentangan itu akan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Malaysia dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) di Singapura sebelum harga tambang dimuktamadkan dan diumumkan kepada orang ramai.

“Kelulusan daripada kedua-dua kerajaan diperlukan sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat,” katanya.

Pas Bermusim: Kerajaan Terbuka Tapi Perlu Berdaya Maju

Mengulas kemungkinan pengenalan pas bermusim bagi pengguna tetap RTS Link, Anthony berkata kerajaan terbuka terhadap cadangan itu, namun ia perlu berdaya maju dari segi komersial.

Beliau menegaskan sebarang cadangan pas bermusim perlu dibincangkan bersama RTSO memandangkan perkhidmatan ini membabitkan perjalanan antarabangsa yang melibatkan dua buah negara.

“Berdasarkan pengalaman, pas musim pengangkutan awam lazimnya membabitkan subsidi kerajaan. Kita akan meneliti bagaimana bantuan boleh diberikan kepada rakyat Malaysia. Bagaimanapun, kita tidak akan memberi subsidi kepada warga asing dan saya percaya Singapura juga akan mengambil pendekatan sama terhadap rakyatnya,” katanya.

Shuttle Tebrau Akan Ditamatkan Enam Bulan Selepas RTS Link Beroperasi

Dalam perkembangan lain yang bakal mengubah senario pengangkutan rentas sempadan ini, Loke turut mengesahkan bahawa perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Shuttle Tebrau dijangka ditamatkan enam bulan selepas operasi RTS Link bermula.

“Walaupun Malaysia berharap perkhidmatan tren ulang-alik itu dapat diteruskan buat sementara waktu, keputusan akhir masih tertakluk kepada persetujuan Singapura. Berdasarkan perjanjian sedia ada, operasi Shuttle Tebrau perlu dihentikan dalam tempoh enam bulan selepas RTS Link mula beroperasi sepenuhnya,” jelasnya.

RTS Link: Penyelesaian Kepada Kesesakan Tambak Johor

RTS Link merupakan sistem rel ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer yang menghubungkan dua stesen iaitu Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura.

Projek yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2027 ini mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah ketika waktu puncak. RTS mungkin menjadi penyelesaian utama kepada kesesakan kronik di Tambak Johor yang selama ini menjadi antara perlintasan sempadan paling sibuk di dunia.

Sumber : Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD