Peralihan Trak EV: Kerajaan Pertimbang Insentif Cukai Dan Pembangunan Ekosistem

Peralihan Trak EV: Kerajaan Pertimbang Insentif Cukai Dan Pembangunan Ekosistem

Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke, menegaskan bahawa peralihan kepada trak elektrik (EV) dalam sektor komersial memerlukan sokongan insentif kerajaan dan pembangunan ekosistem yang menyeluruh, terutama kemudahan pengecasan.

Beliau mengakui penggunaan trak EV di Malaysia masih rendah kerana kos pembeliannya mencecah dua hingga tiga kali ganda lebih mahal berbanding trak diesel konvensional.

“Memang hakikatnya pada hari ini, harga sebuah trak EV adalah dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding trak konvensional. Keadaan itu menyukarkan ramai pengusaha untuk melakukan peralihan kepada penggunaan EV,” jelas beliau semasa ditemui media di MCVE 2026.

Berdasarkan data JPJ, kini kurang daripada 10 trak EV beroperasi di Malaysia yang kebanyakannya sekadar projek perintis.

Bagi menangani isu ini, kerajaan akan membincangkan bentuk galakan dalam mesyuarat pasukan petugas EV minggu depan, termasuk cadangan insentif cukai bagi mengurangkan beban pelaburan syarikat pengangkutan.

Selain itu, kerajaan mahu memastikan peralihan ini memberi manfaat ekonomi menerusi pemasangan tempatan (CKD) dan pembangunan industri sokongan.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa infrastruktur pengecasan khusus untuk kenderaan berat adalah tunjang utama kejayaan inisiatif ini.

“Bagaimana kita mahu menggalakkan penggunaan trak EV ini, ia mesti disokong oleh ekosistem yang menyeluruh, khususnya dari segi stesen pengecasan. Itulah cabaran besar yang sedang dihadapi negara kita pada masa ini,” tambah beliau lagi.

Kerajaan kini meneliti kemungkinan menjadikan pengecas EV sebagai fasiliti standard di stesen minyak pada masa depan bagi menyokong sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Walaupun penggunaan trak EV belum menjadi trend global yang meluas, perkembangan pesat di China yang berjaya mengurangkan kebergantungan terhadap diesel menjadi contoh yang sedang diperhatikan oleh kementerian.

Mengenai subsidi diesel pula, Anthony Loke menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan belum bercadang menarik subsidi bagi golongan T20 di bawah sistem BUDI MADANI.

Pendekatan sedia ada dikekalkan kerana sistem tersebut dianggap lebih mudah, terkawal, dan efektif dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar serta mengurangkan risiko ketirisan.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD