Selepas hampir dua dekad menjadi antara model sedan pilihan rakyat Malaysia, Proton Persona akhirnya melakar satu lagi detik penting apabila PROTON meraikan penyerahan unit terakhir model berkenaan kepada pelanggan menerusi satu majlis khas di pusat pengedar 4S Atiara Johan, Puchong.
Diperkenalkan pada tahun 2007, Proton Persona berjaya mencatatkan jumlah jualan terkumpul sebanyak 473,346 unit merangkumi pasaran domestik dan eksport sepanjang tempoh 19 tahun.
Pencapaian tersebut membuktikan bahawa Persona mempunyai tempat tersendiri dalam industri automotif tempatan, khususnya dalam kalangan pembeli yang mencari sebuah sedan segmen B dengan ruang praktikal, keselesaan dan harga yang mampu dimiliki.

Untuk rekod, Proton Persona mula diperkenalkan pada 15 Ogos 2007 bagi mengambil alih peranan Proton Wira dalam rangkaian sedan PROTON.
Model generasi pertama ini dibangunkan menggunakan platform Proton GEN 2, namun hadir dengan reka bentuk badan serta susun atur ruang yang lebih menepati keperluan pembeli sedan.
Persona kemudiannya menjadi antara penyumbang penting kepada jualan PROTON dan berjaya mengatasi jualan model asal yang menjadi asas pembangunannya.
Pada 23 Ogos 2016, PROTON memperkenalkan generasi baharu Persona yang dibangunkan berasaskan platform Proton Iriz. Generasi ini menerima pelbagai peningkatan dari segi keselamatan, kehalusan pemanduan dan kepraktisan.
Model berkenaan turut menerima kemas kini pada tahun 2019 dan 2021 bagi memastikan ia kekal relevan dengan kehendak pengguna.
Sepanjang tempoh tersebut, Persona memainkan peranan penting sebagai pilihan sedan keluarga, terutamanya bagi mereka yang memerlukan ruang kabin dan ruang bagasi lebih besar berbanding kereta pertama mereka.

Proton S70 1.5 i-GT
Dengan penyerahan unit terakhir Persona, PROTON kini meletakkan Proton S70 1.5 i-GT sebagai model yang meneruskan peranan sedan berkenaan dalam barisan produknya.
Proton S70 1.5 i-GT ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu Lite dan Prime. Kedua-duanya menggunakan enjin 1.5 liter i-GT aspirasi semula jadi yang dipadankan dengan transmisi CVT bersama penukar tork.
Gabungan rangkaian kuasa ini dikatakan mampu memberikan pengalaman pemanduan yang lebih lancar untuk kegunaan harian.
Dari segi ruang, S70 turut menawarkan kabin yang luas dengan lantai bahagian belakang hampir rata bagi meningkatkan keselesaan penumpang, khususnya ketika perjalanan jauh.
Kedua-dua varian turut dilengkapi pelbagai ciri keselamatan dan teknologi moden seperti:

Proton S70 1.5 i-GT
Menariknya, PROTON turut menawarkan S70 1.5 i-GT pada harga yang masih berada dalam lingkungan mampu milik menerusi dua pilihan varian.
Berikut merupakan harga atas jalan tanpa insurans selepas mengambil kira rebat pembelian awal sebanyak RM3,000:
Bagaimanapun, rebat pembelian awal tersebut tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh PROTON.
Menurut Pengarah Jualan Proton Edar, Ong Chee Wooi, Persona berjaya mendapat tempat dalam kalangan keluarga Malaysia kerana memenuhi keperluan mereka terhadap sebuah sedan yang praktikal, selesa dan mampu dimiliki.
Beliau turut menyatakan bahawa S70 1.5 i-GT akan meneruskan legasi tersebut dengan menawarkan ruang lebih luas, keselesaan lebih baik serta ciri teknologi moden.

Sepanjang 19 tahun berada di pasaran, Proton Persona bukan sekadar sebuah sedan yang digunakan untuk perjalanan harian.
Bagi sesetengah pemilik, ia merupakan kereta keluarga pertama, kenderaan untuk membawa anak ke sekolah, pulang ke kampung atau menemani perjalanan jauh bersama insan tersayang.
Dengan jumlah jualan terkumpul sebanyak 473,346 unit, Persona jelas meninggalkan sumbangan besar dalam perjalanan PROTON sebagai pengeluar kereta nasional.
Kini, tugas tersebut diteruskan oleh Proton S70 1.5 i-GT yang menawarkan pendekatan lebih moden mengikut perubahan keperluan pembeli masa kini.
Persoalannya, mampukah Proton S70 meneruskan kejayaan yang pernah dicipta Persona dan menjadi satu lagi sedan pilihan utama rakyat Malaysia?
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?