NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

PERODUA Kurangkan Kos Servis Dan Alat Ganti 10 Peratus Bermula Hari Ini

PERODUA Kurangkan Kos Servis Dan Alat Ganti 10 Peratus Bermula Hari Ini

RAWANG – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) mengumumkan pengurangan harga alat ganti komponen penyelenggaraan serta kos buruh sebanyak 10 peratus bermula hari ini.

Langkah proaktif ini diperkenalkan bagi membantu meringankan bebanan kewangan rakyat Malaysia yang sedang berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.

Menerusi inisiatif ini, para pemilik dijangka menikmati penjimatan daripada jumlah keseluruhan bil penyelenggaraan kenderaan mereka.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, kempen ini ditawarkan kepada semua model kenderaan termasuk model elektrik (EV) pertama mereka, QV-E.

Kempen ini merangkumi skop pemeriksaan, penggantian komponen, serta kos upah buruh yang berkaitan.

“Pengurangan harga itu tertakluk kepada harga alat ganti komponen penyelenggaraan serta kos buruh yang dikenakan kepada pelanggan, dan secara keseluruhannya, pelanggan dijangka menikmati penjimatan sebanyak 10 peratus daripada jumlah bil penyelenggaraan mereka bermula esok,” katanya.

Langkah penjimatan ini diperkenalkan selepas PERODUA baru-baru ini turut melaraskan harga model QV-E kepada RM87,499 untuk pemilikan penuh, atau RM63,499 menerusi pakej Battery as a Service (BAAS) bagi tempoh promosi sehingga 30 September 2026.

Syarikat optimis kempen servis ini mampu menarik lebih ramai pemilik ke pusat bertauliah memandangkan terdapat lebih lima juta kenderaan jenama itu di atas jalan raya ketika ini.

“Kami percaya penurunan kos penyelenggaraan ini akan membantu pelanggan mengurangkan kos mobiliti mereka dan kami di PERODUA menjalankan tanggungjawab untuk memberikan nilai yang lebih baik kepada pelanggan,” jelas beliau.

Sumber: Berita Harian

Siti Sarah Abu Kassim

Siti Sarah merupakan Spesialis Naratif & Formula 1 (F1) yang pakar dalam menggarap skrip serta dialog berimpak tinggi. Berbekalkan pemahaman teknikal yang mendalam tentang jentera F1, beliau cemerlang merapatkan jurang antara penceritaan emosi dan analisis sukan permotoran elit sebagai seorang pengacara yang serba boleh.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy