Porsche 550 Spyder merupakan antara model penting dalam sejarah sukan permotoran Porsche. Kini, ikon perlumbaan tersebut menerima tafsiran semula menerusi Porsche 550 J, sebuah model elektrik berskala 80% yang dibangunkan oleh Hedley Studios dengan kerjasama Porsche.
Model ini bakal membuat kemunculan sulung kepada umum di festival Icons of Porsche di Dubai pada 21 hingga 22 November 2026. Menariknya, pengeluarannya dihadkan kepada hanya 250 unit di seluruh dunia, menjadikannya sebuah model edisi terhad yang turut menyasarkan golongan pengumpul kereta klasik.
Porsche 550 J dibangunkan dengan mengambil inspirasi daripada 550 Spyder asal, termasuk reka bentuk badan yang kompak, susun atur enjin di tengah dan perincian yang sinonim dengan jentera perlumbaan tersebut.

Dengan panjang sekitar 3,600mm pada skala asal sebelum dikecilkan kepada 80%, model ini mengekalkan bentuk klasiknya. Badannya pula dihasilkan menggunakan komposit gentian karbon, manakala struktur rangkanya menggunakan keluli berkekuatan tinggi.
Pembangunannya mengambil masa enam tahun dengan sokongan pakar Porsche dan akses kepada arkib serta koleksi Muzium Porsche di Stuttgart. Malah, lebih 1,300 komponen baharu direka dan dihasilkan khusus untuk model ini.

Berbeza daripada 550 Spyder asal yang menggunakan enjin petrol, Porsche 550 J menggunakan motor elektrik 48V dengan kuasa 8kW (11bhp) serta bateri litium-ion kompak.
Dalam konfigurasi standard, ia menawarkan kelajuan maksimum sehingga 65km/j dan jarak perjalanan sekitar 50km. Berat keseluruhan kenderaan pula hanya 350kg.
Bagi mereka yang mahukan prestasi lebih tinggi, Hedley Studios turut menawarkan pilihan RS Pack. Pakej ini meningkatkan kuasa kepada 16kW (21bhp), dengan kelajuan maksimum sehingga 80km/j dan jarak perjalanan sekitar 80km.
RS Pack turut merangkumi bateri tambahan, cakera brek berlubang, angkup brek Brembo serta penyerap hentak Bilstein boleh laras yang dipadankan dengan spring Eibach.

Bahagian kabin mengekalkan pendekatan ringkas yang diinspirasikan daripada kereta perlumbaan klasik. Ia dilengkapi tempat duduk bucket untuk dua orang dewasa serta panel instrumen tiga dail dengan takometer besar di bahagian tengah.
Menariknya, meter cas bateri mengambil alih fungsi tolok bahan api, manakala tuil choke manual digunakan semula sebagai pemilih mod pemanduan. Stereng berbingkai kayu pula dihasilkan oleh Nardi, pembekal asal Porsche.
Porsche 550 J ditawarkan dengan pelbagai pilihan penyesuaian, termasuk warna cat khas menerusi program Paint to Sample dan livery bersejarah yang diinspirasikan daripada jentera perlumbaan Porsche.
Malah, pemilik boleh menempah warna atau livery yang sepadan dengan Porsche bersaiz penuh dalam koleksi mereka.
Harga permulaan ditetapkan pada £69,500 atau kira-kira RM 374616.05 tidak termasuk pilihan tambahan dan cukai. Tempahan boleh dibuat melalui Porsche Centre di seluruh dunia atau terus daripada Hedley Studios, manakala penghantaran kepada pelanggan dijadualkan bermula pada musim bunga 2027.
Secara keseluruhan, Porsche 550 J bukan sekadar replika kecil sebuah kereta klasik. Ia menggabungkan warisan reka bentuk 550 Spyder dengan teknologi elektrik dan kejuruteraan moden, sambil mengekalkan identiti asalnya. Dengan pengeluaran hanya 250 unit, model ini pastinya menjadi tawaran unik buat pengumpul yang menghargai sejarah sukan permotoran Porsche.

Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?