NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Proton Sahkan Nama Rasmi Teknologi Hybrid i-HEV, Bakal Debut Pada Model AMA 02

Proton Sahkan Nama Rasmi Teknologi Hybrid i-HEV, Bakal Debut Pada Model AMA 02

PROTON secara rasmi mengesahkan nama teknologi hibrid terbaharunya sebagai i-HEV Intelligent Hybrid System, yang bakal membuat kemunculan pertama menerusi model akan datang dengan kod nama AMA 02.

Teknologi ini menggabungkan enjin petrol yang dibangunkan khusus untuk operasi hibrid, dua motor elektrik serta sistem pengurusan tenaga pintar. Gabungan tersebut direka untuk menawarkan penggunaan bahan api lebih cekap, selain memberikan tindak balas pemanduan yang lancar dan responsif.

Menariknya, sistem i-HEV tidak memerlukan pengecasan luaran seperti kenderaan elektrik atau plug-in hybrid. Pemilik hanya perlu mengisi petrol seperti biasa, manakala sistem akan menguruskan penggunaan tenaga petrol dan elektrik secara automatik.

Enjin 1.5L Atkinson Cycle Dengan Kecekapan Terma 46.5%

Jantung utama sistem i-HEV ialah enjin 1.5 liter Naturally Aspirated Dedicated Hybrid Engine (DHE) yang menghasilkan kuasa 111 PS dan tork 136 Nm.

Enjin ini dibangunkan khusus untuk aplikasi hibrid dengan menggunakan kitaran pembakaran Atkinson. Teknologi tersebut membolehkan enjin menggunakan tenaga daripada proses pembakaran dengan lebih cekap, sekali gus membantu mengurangkan penggunaan bahan api.

Proton turut menyatakan enjin ini mempunyai kecekapan terma puncak sehingga 46.5 peratus, bersama nisbah mampatan geometri 14:1.

Selain itu, beberapa teknologi lain turut digunakan termasuk sistem Water-Cooled Exhaust Gas Recirculation (EGR), pam minyak dengan sesaran berubah serta pam air elektrik.

Kesemua komponen ini bertujuan mengurangkan penggunaan tenaga oleh sistem sokongan enjin dan memastikan pengurusan suhu beroperasi dengan lebih cekap.

Dua Motor Elektrik, Kuasa Sehingga 163 PS Dan 220 Nm

Sistem i-HEV dipadankan dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) yang mengintegrasikan dua motor elektrik dikenali sebagai P1 dan P3.

Motor P1 bertanggungjawab menghidupkan enjin petrol serta menjana tenaga elektrik, manakala motor P3 bertindak sebagai motor pemacu utama yang menggerakkan roda kenderaan.

Motor pemacu P3 ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 163 PS dan tork 220 Nm. Ia membantu memberikan pecutan yang lebih responsif ketika kenderaan mula bergerak, memotong atau mendaki laluan berbukit.

Keseluruhan sistem pula dikawal oleh Power Control Module (PCM), yang menguruskan operasi enjin, motor elektrik dan bateri mengikut kelajuan kenderaan, permintaan kuasa serta keadaan bateri.

Empat Mod Pemanduan Diuruskan Secara Automatik

Antara ciri utama sistem i-HEV ialah keupayaannya beroperasi menggunakan empat mod berbeza, iaitu EV Mode, Series Mode, Parallel Mode dan Direct Drive Mode.

Dalam EV Mode, kenderaan digerakkan sepenuhnya menggunakan tenaga bateri melalui motor elektrik apabila keadaan mengizinkan.

Series Mode pula menggunakan enjin petrol untuk menjana elektrik, manakala motor elektrik bertanggungjawab menggerakkan roda.

Bagi Parallel Mode, enjin petrol dan motor elektrik bekerjasama untuk menggerakkan kenderaan. Sementara itu, Direct Drive Mode membolehkan enjin petrol memacu roda secara mekanikal apabila keadaan pemanduan lebih sesuai, seperti ketika mengekalkan kelajuan di lebuh raya.

Apa yang menarik, pemandu tidak perlu memilih mod tersebut secara manual kerana sistem akan menentukan operasi paling sesuai berdasarkan keadaan pemanduan.

Bateri 1.38 kWh, Tidak Perlu Pengecas Luaran

Proton i-HEV menggunakan bateri berkapasiti 1.38 kWh untuk menyimpan tenaga bagi pemanduan elektrik dan bantuan motor.

Tenaga elektrik turut dijana semula menerusi sistem regenerative braking ketika kenderaan memperlahankan kelajuan. Dalam keadaan tertentu, enjin petrol juga boleh membekalkan tenaga kepada bateri melalui generator.

Ini bermakna pemilik tidak perlu mencari stesen pengecasan atau memasang pengecas di rumah. Penggunaan sistem ini lebih mudah kerana kenderaan hanya perlu diisi petrol seperti kereta biasa.

Menurut Proton, sistem tersebut juga mampu mengurangkan operasi enjin, bunyi dan penggunaan bahan api ketika berhadapan trafik sesak melalui penggunaan tenaga elektrik.

Proton Perkukuh Pemasangan Teknologi Hybrid Tempatan

Selain memperkenalkan teknologi baharu, Proton turut memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan pemasangan komponen elektrifikasi di Malaysia.

Operasi Proton di Tanjong Malim kini merangkumi pengeluaran Dedicated Hybrid Engine (DHE), pemasangan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) serta Electric Drive Unit (EDU) secara tempatan.

Langkah ini bukan sahaja meningkatkan penglibatan tenaga kerja tempatan dalam teknologi elektrifikasi, malah membantu membangunkan kepakaran dalam bidang pemasangan, pengujian dan kawalan kualiti.

Buat masa ini, Proton mengesahkan bahawa sistem i-HEV akan membuat kemunculan pertama menerusi model berkod AMA 02. Namun, harga jualan, spesifikasi penuh kenderaan serta tarikh pelancaran rasmi masih belum diumumkan dalam kenyataan tersebut.

Dengan pengenalan i-HEV, Proton dilihat semakin serius memperluaskan teknologi elektrifikasi menerusi pendekatan hybrid yang tidak memerlukan pengecasan luaran. Persoalannya, sejauh manakah teknologi ini mampu memberikan kelebihan kepada pengguna apabila AMA 02 mula diperkenalkan nanti?

Gallery

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy