Untuk pemilik kenderaan tanpa pelepasan gas pencemaran (ZEV) sedia ada, anda sudah boleh mula membuat tempahan rekaan plat khas JPJePlate mulai hari ini sekiranya anda berminat.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, JPJePlate boleh didapati pada harga RM98 satu set termasuk plat hadapan dan belakang, pelekat cermin sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) serta caj penghantaran.
Syarikat pengeluar atau pengedar kenderaan sudah boleh mula menempah hari ini di laman web rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), menurut laporan dari Sinar Harian.
“Pelaksanaan JPJePlate dibuat bagi melipatgandakan langkah pendigitalan, meningkatkan keselamatan jalan raya dan mewujudkan evolusi baharu dalam sistem pengenalan kenderaan atau ‘Vehicle Identification System’ (VIS).
“JPJePlate tidak melibatkan kenderaan konvensional kerana keutamaan ketika ini adalah memastikan pelaksanaannya terhadap ZEV berjalan lancar,” katanya.
Loke turut berkongsi akan ciri baharu yang terdapat pada rekaan plat khas JPJePlate iaitu plat putih dengan nombor indeks berwarna hitam dan hijau sebagai kod kenderaan elektrik (EV). Ini adalah untuk membezakan jenis kenderaan berkenaan di atas jalan raya oleh pengguna kenderaan lain.
“Warna-warna ini dipilih supaya pengguna jalan raya senang nak kenal pasti contohnya hijau memang khusus untuk EV. Mudah untuk orang lain bezakan kenderaan EV dengan kereta konvensional yang lain. Selepas ini mungkin ada kod warna lain di bahagian kiri plat untuk kenderaan lain pula,” katanya.
Sementara itu, Loke turut memaklumkan bahawa JPJePlate sedang diintegrasikan bersama sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) tak lama lagi dan sedang dalam proses pelaksanaan.
“JPJePlate memang dah ada RFID tetapi sekarang kami sedang usaha untuk mengintegrasikannya dengan Touch ‘n Go. Ia supaya selepas ini bayaran tol boleh menggunakan satu RFID sahaja tak perlu banyak-banyak RFID,” ujarnya.