Pengeluar kereta nasional, Proton telah mengumumkan bahawa Saga akan dipasang secara tempatan (CKD) di Mesir dan akan diuruskan oleh Ezz Elsewedy Automotive Factories (ESAF). Pemasangan tempatan dijangka akan bermula pada Disember tahun ini dengan sasaran untuk tahun 2025 dijangka meningkat kepada 5,000 unit Proton Saga.
Sejak 2004, Proton telah menjalinkan kerjasama di pasaran automotif Mesir bersama rakan kongsi, Ezz Elarab. Setakat ini, hampir 17,000 unit CBU telah dieksport ke negara tersebut dan pada tahun 2024, ia diramalkan lebih daripada 1,400 unit akan dihantar ke Mesir.
“Proses pemasangan tempatan Proton Saga di Mesir membolehkan syarikat memenuhi matlamat kerajaan Mesir untuk mengehadkan bilangan import CBU ke negara tersebut dan juga menggalakkan aktiviti pemasangan tempatan.
Ini seterusnya mencipta potensi untuk pengembangan kapasiti yang lebih besar di negara tersebut pada masa hadapan, terutama selepas kami melancarkan model-model baru untuk mencapai matlamat bagi menjadikan Mesir sebagai pusat eksport kenderaan Proton di rantau Afrika Utara,” kata Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa Proton.
Untuk tiga tahun pertama sehingga akhir 2026, pendapatan yang diperoleh Proton daripada eksport model CKD Saga ke Mesir diramalkan sebanyak RM570 juta, dengan tambahan RM20 juta dijangka sebagai pendapatan daripada aktiviti eksport alat ganti.
Sementara itu, Proton turut menyaksikan 120 unit pertama Proton Saga CKD berjaya dihantar ke Mesir semalam dalam versi pemanduan sebelah kiri untuk pasaran berkenaan. Untuk makluman, hanya model Saga sahaja yang dijual di sana dengan tiga varian ditawarkan sejak Disember 2020. Terdahulu, model Saga hanya diimport terus (CBU) dari Malaysia.
Kini, Proton mempunyai 5 projek CKD luar negara iaitu di Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Kenya dan Mesir. Menjelang tahun-tahun yang akan datang, Proton menyasarkan untuk meningkatkan kuantiti eksportnya kepada 10,000 unit.