Subaru Outback 2024 telah dilancarkan secara rasmi ke dalam pasaran Malaysia dan 2 varian akan ditawarkan untuk penjualan iaitu Outback 2.4 XT Touring EyeSight dengan harga bermula RM310,390 dan Outback 2.5i-T EyeSight dengan harga bermula dari RM280,390 (on-the-road tanpa insurans).
Model ini berukuran 4,870 mm panjang, 1,875 mm lebar, 1,675 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,745 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 561 liter dan meningkat hingga 1,750 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.
Bagi varian XT, ia didatangkan dengan kapasiti enjin 2.4 liter turbocaj boxer empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 249 Ps dan 350 Nm tork. Pecutan dari 0-100 km/j hanya dalam masa 7.5 saat dan kelajuan maksimum pada 221 km/j.
Bagi varian 2.5i-T, ia didatangkan dengan kapasiti enjin 2.5 liter NA boxer empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 188 Ps dan 245 Nm tork. Hanya Malaysia dan Filipina sahaja yang diberikan dua pilihan varian ini di antara negara-negara ASEAN yang lain.
Untuk rekaan luaran, gril berbentuk segi heksagon dengan lampu utama LED bersegi dan DRL bentuk C, body caldding hitam serta lampu kabus depan dan belakang dapat dilihat manakala varian XT diberi kelainan dengan adanya muncung ekzos berkembar, lampu kabus depan enam elemen LED dan lencana di pintu ruang barangan.
Beralih kepada rekaan dalaman, ia kelihatan sama seperti Subaru WRX iaitu skrin infotainment bersaiz 11.6 inci menegak dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem bunyi Harman Kardon dengan 11-pembesar suara, kerusi balutan kulit Nappa, kawalan pendingin dua-zon dan pelbagai lagi.
Bagi sistem keselamatan pula, model ini dilengkapi dengan EyeSight 4.0 seperti Lane Departure Prevention, Pre-Collision Braking (sistem AEB), Subaru Rear Vehicle Detection, High Beam Assist, Autonomous Emergency Steering dan Adaptive Cruise Control yang telah ditambah baik.
Walaupun masih menggunakan dua kamera, ia kini mempunyai sudut pandangan yang lebih lebar kerana telah dipasang lebih dekat dengan cermin depan. Perbezaan di antara kedua-dua varian ini pula hanya pada enjin dengan spesifikasi lain masih dikekalkan sama. Model ini akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, bersama dengan model-model Subaru lain yang akan datang.