Baru-baru ini Proton telah meraikan pencapaian penting di Proton Centre of Excellence (COE) iaitu pelancaran rasmi Jelajah Proton e.MAS7.
Ia dimulakan dengan Jelajah Dunia Geely E5 menyerahkan baton kepada Proton e.MAS7 yang akan memulakan jelajah di seluruh Malaysia bermula pada 5 Oktober ini.
Jelajah ini diadakan adalah untuk menonjolkan lagi kebolehan Proton e.MAS7 sebagai jenama EV pertama negara dengan hanya menaiki kenderaan EV. Pelbagai jenis cabaran dan halangan yang akan dilalui seperti lebih dari 2,000 km akan ditempuh bersama dengan laluan di pantai sehingga ke kawasan pergunungan untuk mempamerkan prestasinya.
Proton e.MAS7 akan mula mengembara dengan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pada peringkat pertama lalu akan bersambung ke Pahang, Terengganu dan Kelantan. Ia seterusnya akan disambung lagi dengan Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Tidak dilupakan Kuala Lumpur dan Selangor dan seterusnya akan diakhiri di Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak.
“Matlamat kami adalah untuk memberikan rakyat Malaysia pengalaman yang menarik tentang bagaimana kenderaan ini mengharungi keadaan jalan dan iklim unik di negara kita.
“Jelajah ini bukan sahaja akan meraikan komuniti kita yang berwarna-warni ini tetapi juga memupuk hubungan yang erat dengan para pelanggan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang.
Orang ramai yang berminat untuk melihat Proton e.MAS7 boleh berkunjung ke lokasi utama di Putrajaya pada 25 September dan di Shah Alam pada 26 September sebelum jelajah bermula.