Volvo Cars Malaysia secara rasmi telah melancarkan SUV elektrik mereka, Volvo EX30 ke dalam pasaran Malaysia hari ini. 3 varian akan ditawarkan dengan harga bermula RM188,888 untuk varian Plus, RM208,888 untuk varian Ultra dan RM228,888 untuk varian Ultra Twin Performance.
Model ini berukuran 4,233 mm panjang, 1,838 mm lebar, 1,550 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,650 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 315 liter dan meningkat hingga 904 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.
Bagi varian Plus dan Ultra, ia dikuasakan oleh bateri berkuasa tinggi jenis Nickel Manganese Cobalt (NMC) dan mampu menghasilkan 272 PS dan 343 Nm tork. Jarak sejauh 476 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 69 kWh. Pecutan dari 0-100 km/j hanya 5.3 saat manakala kelajuan maksimumnya adalah 180 km/j.
Bagi varian Ultra Twin Performance, ia dikuasakan oleh bateri berkuasa tinggi jenis Nickel Manganese Cobalt (NMC) dan mampu menghasilkan 428 PS dan 543 Nm tork. Jarak sejauh 450 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 69 kWh. Pecutan dari 0-100 km/j hanya 3.6 saat manakala kelajuan maksimumnya adalah 180 km/j.
Bagi pengecasannya, jika menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 175 kW, ia boleh mencapai status pengecasan 10% hingga 80% dalam masa 28 minit untuk kesemua varian.
Untuk rekaan luaran, Volvo EX30 ini hadir dengan rekaan lampu hadapan berbentuk T melintang manakala rekaan lampu bahagian belakang berbentuk C. Turut hadir bersama adalah tulisan bertulis Volvo dan nama model ini, EX30 di bahagian belakang kereta.
Memasuki ruang dalam, model ini mengamalkan konsep minimalis dengan ruang compartment yang kecil dan sederhana di bahagian tengah serta skrin infotainment bersaiz 12.3 inci dalam keadaan menegak di bahagian tengah. Tiada meter kluster atau heads-up display (HUD) di bahagian stereng namun butang fizikal bagi signal dan gear ada pada stereng.
Selain itu, varian Plus menerima Upgraded Pilot Assist, pembesar suara Harman Kardon, ambient lighting dan teknologi keselamatan manakala varian Ultra menerima ciri tambahan lain seperti bantuan parkir, kamera 360 darjah, kerusi hadapan berkuasa dan bumbung panoramik. Varian Ultra Twin Performance menerima semua ciri-ciri yang ada pada Plus dan Ultra dengan dua motor elektrik digunakan.
Volvo EX30 bakal diimport sepenuhnya (CBU) untuk tahun ini dan merancang untuk memasang secara tempatan (CKD) pada tahun 2025. 5 pilihan warna luaran akan ditawarkan iaitu Cloud Blue, Moss Yellow, Crystal White, Vapour Grey dan Onyx Black.
Waranti standard 5 tahun/unlimited mileage untuk kereta dan jaminan 8 tahun untuk bateri bersama dengan 5 tahun Volvo Service Plan akan diberikan kepada pelanggan yang membuat tempahan Volvo EX30 ini. Selain itu, 24 jam bantuan tepi jalan selama 5 tahun dan 5 tahun servis digital percuma untuk sambungan Google dan data di skrin infotainment juga akan diberikan.
Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan di laman web rasmi Volvo Malaysia atau lihat dan rasai sendiri pengalaman bersama model ini bermula esok, 26 September, sehingga Ahad ini, 29 September di KL Base Event.