Ital Auto Malaysia Sdn Bhd, pengimport dan pengedar eksklusif Ferrari di Malaysia, telah melancarkan dua buah model supercar 2-tempat duduk iaitu 12Cilindri dan 12Cilindri Spider, ke dalam pasaran Malaysia. Ia dijual pada harga bermula RM4,700,000 untuk 12Cilindri dan RM5,100,000 untuk Spider. Harga termasuk cukai import (tanpa insurans dan pendaftaran).
Kedua-dua model ini berukuran 4,733 mm panjang, 2,176 mm lebar dan 1,292 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,700 mm. Seperti namanya, model ini memberi tumpuan kepada enjin 12-silinder yang kuat.
Ia didatangkan dengan enjin 6.5 liter, mewakili evolusi terkini enjin V-12 Ferrari F140, yang pertama kali diperkenalkan dalam Enzo dua dekad lalu. Ia dapat menghasilkan kuasa sebanyak 830 Hp pada 9,500 rpm dan 678 Nm tork pada 7,250 rpm. 0-100 km/j dalam masa 2.95 saat dan kelajuan maksimum pada 340 km/j.
Selain itu, ia dilengkapi dengan transmisi dwi-klac lapan kelajuan dan pacuan roda belakang, memberikan gerakan yang jauh lebih cepat berbanding dengan 812 Superfast. Ia mempunyai berat kering sebanyak 1,620 kg dengan pengagihan berat sebanyak 47.8% di bahagian hadapan dan 52.2% di bahagian belakang. Tayar 21 inci yang lebih tinggi menyumbang kepada peningkatan pecutan, dengan 12Cilindri mempunyai angka prestasi yang mengagumkan.
Lebih besar daripada 812 Superfast, model ini memaparkan elemen reka bentuk yang mengingatkan kepada Roma, dengan butiran teknikal yang rumit memberi penghormatan kepada warisan Ferrari. Fakta menarik, konsep di sebalik lukisan awal model ini diinspirasikan dari model-model open-topped Ferrari Gran Turismo pada tahun 1950 dan 1960.
Di dalam, elemen tradisional Ferrari hadir, bersama-sama skrin infotainment bersaiz 10.25 inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem kawalan kitaran yang canggih, pengecas telefon tanpa wayar, sistem audio berkualiti tinggi termasuk Side Slip Control 8 dan sistem stereng four-wheel, memastikan prestasi dan kawalan yang optimum.
Perbezaan di antara kedua-dua model ini adalah 12Cilindri Spider mempunyai ciri tambahan retractable hard top manakala 12Cilindri tiada. Pemilik akan mendapat program penyelenggaraan percuma untuk 7 tahun pertama model ini.