Seorang warga emas berusia 72 tahun maut setelah dirempuh sebuah kereta ketika melintas Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS), berhampiran jejambat Kampung Rampayan, kelmarin.
Mangsa, Enok Juddin dari Kampung Delima, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dalam insiden yang berlaku sekitar jam 11 pagi.
Isteri mangsa, Jubairah Muin, 50-an, tidak dapat menyembunyikan kesedihannya ketika menceritakan detik-detik terakhir sebelum suaminya keluar rumah.
“Ketika suami menyatakan hasratnya untuk keluar, saya sudah menasihatinya supaya tidak pergi. Namun, dia bertegas mahu membaiki jam tangannya dan terus keluar rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Jubairah berkata, kira-kira sejam kemudian, dia menerima berita daripada jiran bahawa suaminya terlibat dalam kemalangan tidak jauh dari rumah mereka.
“Saya segera ke lokasi kejadian dan mendapati suami sudah tidak bernyawa. Tubuhnya ditutupi kain oleh orang ramai. Dia tidak menunjukkan sebarang petanda ganjil sebelum keluar, kecuali berulang kali menunjukkan jam tangannya,” katanya sebak.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, memaklumkan siasatan awal mendapati mangsa melintas jalan secara tiba-tiba dari arah kanan pembahagi jalan tanpa memerhatikan kenderaan yang sedang bergerak lurus.
“Pemandu kereta jenis Perodua Viva, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an, tidak sempat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat. Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan,” katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber : Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?