Taktik pemandu lori membawa muatan kayu getah berlebihan dengan bergerak pada awal pagi untuk mengelak penguatkuasaan pihak berkuasa akhirnya terbongkar dalam operasi khas oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah.
Dalam operasi yang bermula tengah malam tadi di Jalan Naka, Pokok Sena, sebanyak 10 lori disita kerana membawa muatan kayu getah berlebihan, sekali gus mengundang risiko bahaya kepada pengguna jalan raya.
Menurut Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam, siasatan mendapati kebanyakan lori terbabit tidak memenuhi syarat keselamatan.
“Muatan berlebihan ini sangat berbahaya, terutama jika kayu yang tidak diikat dengan betul jatuh ke jalan. Keadaan ini boleh mencetuskan kemalangan serius,” katanya.
Seorang pemandu lori berusia 20 tahun mengakui pernah disaman lima kali sebelum ini kerana tidak memiliki lesen memandu, selain membawa muatan berlebihan.
Tinjauan di lokasi operasi mendapati lori yang terlibat bukan sahaja membawa muatan melebihi had, tetapi juga berada dalam keadaan yang tidak selamat.
“Kami mendapati banyak lori menggunakan tayar celup yang sudah merekah, cermin hadapan retak, dan bahagian tepi lori pecah akibat tekanan muatan berlebihan,” kata Stien.
Antara kesalahan lain yang dikesan ialah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, ketiadaan insurans, kenderaan tidak diselenggara dengan baik, ubah suai kenderaan, tayar yang rosak, dan penyenyap bunyi tidak berfungsi.
Dalam operasi yang berlangsung selama tujuh jam, sebanyak 118 saman dan 38 notis arahan pemeriksaan dikeluarkan. JPJ turut menyita 10 lori yang didapati melanggar peraturan jalan raya.
“Pemandu lori ini beranggapan mereka dapat mengelak tindakan dengan bergerak pada waktu malam. Namun, JPJ Kedah menjalankan rondaan tanpa mengira waktu bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin,” tambahnya.
JPJ Kedah akan terus memfokuskan kepada penguatkuasaan ke atas kenderaan berat, memandangkan kumpulan ini sering terlibat dalam kemalangan yang mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.
Sumber : Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?