Mazda MX-5 35th Anniversary Edition Kini di Malaysia – Berharga RM315k, Warna Eksklusif Artisan Red Premium

Mazda MX-5 35th Anniversary Edition Kini di Malaysia – Berharga RM315k, Warna Eksklusif Artisan Red Premium

Bermaz Motor, pengedar eksklusif Mazda di Malaysia, telah memperkenalkan model edisi istimewa Mazda MX-5 35th Anniversary Edition sempena ulang tahun pengeluarannya yang ke-35 untuk pasaran Malaysia. Hanya 1,000 unit sahaja yang akan dikeluarkan di mana Malaysia hanya akan menerima kurang dari 5 unit.

Model ini berukuran 3,915 mm panjang, 1,735 mm lebar, 1,235 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,310 mm. Istimewanya untuk pasaran Malaysia, model ini mempunyai bumbung hard top atau dikenali sebagai rectractable fastback.

Dari segi kapasiti enjin, model ini dilengkapi dengan enjin petrol SkyActiv-G 2.0L NA empat-silinder sebaris yang mampu menghasilkan 184 PS dan 205 Nm tork. Mazda MX-5 35th Anniversary Edition menonjol dengan warna eksklusif Artisan Red Premium, dihasilkan melalui teknologi cat Takuminuri Mazda yang canggih.

Dari luar, model istimewa ini memaparkan lencana Edisi Ulang Tahun ke-35 di bahagian fender belakang sebagai tanda keluaran terhad. Cermin sisi luar dicat mengikut warna badan dan rim aloi 17 inci berwarna Bright Metallic menambah gaya sporty dan elegan.

Di dalam, kereta ini mengekalkan gaya klasik kereta sport dengan tema dalaman Sports Tan. Bahagian papan pemuka, permaidani dan pelapik lantai menggunakan warna Tan yang sama. Logo Edisi Ulang Tahun ke-35 dijahit pada pelapik lantai dan timbul di bahagian kepala tempat duduk kulit. Warna Tan turut digunakan pada bahagian lubang udara dan panel pintu, sepadan dengan warna luar Artisan Red.

Model Mazda MX-5 tahun 2025 juga diberi naik taraf dari segi reka bentuk, ciri dan teknologi. Lampu hadapan kini mempunyai reka bentuk balutan bulat yang kelihatan seperti mata, manakala lampu siang (DRL) memberikan gaya matang dan akan berkelip oren bila isyarat membelok digunakan.

Lampu belakang kini menggunakan kanta cengkung untuk kesan seperti enjin jet. Semua lampu kini jenis LED, lebih terang dan tahan lama. Bampar belakang turut diberi reflektor dan lampu kabus belakang yang baharu.

Kesemua varian kini dilengkapi dengan meter paparan baharu yang lebih jelas serta cermin pandang belakang tanpa bingkai yang boleh gelap secara automatik. Sistem infotainmen baharu bersaiz 8.8 inci turut ditambah, lengkap dengan kawalan suara, port pengecasan USB-C dan kamera undur berdefinisi tinggi.

Dari segi keselamatan, MX-5 kini dilengkapi dengan ciri i-Activsense tambahan iaitu Rear Cross Traffic Alert (RCTA) yang membantu ketika mengundur.

Mazda MX-5 RF 2025 diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun dan hadir dalam warna seperti Deep Crystal Blue, Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Jet Black, dan Aero Gray. Warna Artisan Red Premium pula hanya untuk model Edisi Ulang Tahun ke-35.

Tempahan untuk Mazda MX-5 RF 2025 kini dibuka, dengan harga bermula dari RM293,000 untuk versi Manual dan Auto. Edisi Ulang Tahun ke-35 pula berharga RM315,000.

Pemilik turut akan menerima jaminan dari pengeluar selama 5 tahun dan penyelenggaraan percuma 5 tahun (tidak termasuk Mazda BT50), termasuk buruh, alat ganti dan pelincir, mengikut standard pengeluar. Jaminan dan penyelenggaraan percuma ini meliputi tempoh 5 tahun/100,000 km, mana-mana yang terdahulu.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD