Selain BMW F 900 XR Baharu dilancarkan, BMW Motorrad turut melancarkan All-New BMW R 12 NineT ke dalam pasaran Malaysia. Motosikal ini dijual pada harga bermula RM124,500 (termasuk jaminan 3 tahun, bantuan tepi jalan 3 tahun, tanpa insurans). Manakala dengan pelan pembiayaan, BMW R 12 NineT boleh dimiliki dari RM1,738 sebulan.
BMW R 12 nineT Serba Baharu mengekalkan prestasi hebat enjin boxer yang ikonik, digabungkan dengan gaya klasik motosikal tradisional. Rangka utama motosikal ini dibina dengan reka bentuk baru menggunakan keluli, menjadikannya lebih ringan dan tampil dengan rupa yang lebih kemas dan klasik. Rangka belakang turut diperbuat daripada keluli dan disambungkan kukuh kepada rangka utama.
Tangki minyak aluminium dengan panel sisi yang digilap, bersama tempat duduk dan bahagian belakang, membentuk garis menaik yang sporty. Fork hadapan jenis terbalik memberikan kawalan dan penampilan yang lebih baik, manakala brek depan dengan angkup radial menawarkan kuasa hentian yang kuat.
Paip ekzos krom dan roda aloi 17 inci menambah karakter garang motosikal ini. Untuk keselesaan, kedudukan penunggang diletakkan lebih dekat dengan hendal bagi kawalan yang lebih baik. Paparan terdiri daripada dua meter bulat yang menunjukkan kelajuan dan RPM, bersama port USB-C dan soket 12V.
Enjin yang digunakan ialah enjin boxer 1,170 cc dua silinder yang disejukkan air. Ia menghasilkan 109 hp pada 7,000 rpm dan 115 Nm tork pada 6,500 rpm, digabungkan dengan transmisi 6-kelajuan dan klac kering. Motosikal ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat dan mencapai kelajuan lebih 200 km/j, dengan penggunaan minyak sekitar 5.1 liter/100 km.
Dari segi keselamatan, ia dilengkapi dengan sistem Dynamic Traction Control untuk kestabilan yang lebih baik, dan BMW Motorrad ABS Pro untuk prestasi brek yang mantap walaupun di selekoh. Lampu utama LED dan Lampu Siang memastikan penglihatan jelas, manakala sistem lampu adaptif menyesuaikan pencahayaan mengikut keadaan persekitaran.
Untuk kemudahan tambahan, motosikal ini dilengkapi dengan sistem Keyless Ride dan Connected Ride Control. Pakej Comfort turut disediakan, termasuk Kawalan Kelajuan, Hill Start Control, dan Pemanas Pemegang untuk keselesaan semasa perjalanan jauh. Penunggang juga boleh memilih antara mod Rain, Road atau Dynamic mengikut keadaan jalan dan cuaca.
Model ini hanya ditawarkan dalam satu warna sahaja iaitu Black Storm Metallic.