NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Hyundai Santa Fe 2025 Dipertonton di Malaysia – 3 Varian, CKD, Bakal Lancar 2 Julai

Hyundai Santa Fe 2025 Dipertonton di Malaysia – 3 Varian, CKD, Bakal Lancar 2 Julai

Hyundai Motor Malaysia (HMY) secara rasminya telah memperlihatkan model Santa Fe 2025, sebuah SUV dengan pilihan 6 atau 7 tempat duduk untuk pasaran Malaysia. 3 varian akan ditawarkan iaitu Hybrid Prime, Hybrid Prestige dan 2.5T Calligraphy.

Bakal dilancarkan secara rasmi pada 2 Julai ini, SUV 7 tempat duduk ini berukuran 4,830 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,770 mm tinggi (1,780 mm – Calligraphy) dengan jarak antara roda 2,815 mm.

Model ini didatangkan dengan pilihan enjin 1.6 liter turbo hibrid yang mampu menjana sebanyak 180 PS dan 265 Nm tork. Digandingkan bersama sebuah motor elektrik dan transmisi automatik 6-kelajuan, mampu menjana sebanyak 230 PS dan 350 Nm tork.

Selain itu, HMY turut memperkenalkan pilihan enjin baru untuk model ini iaitu 2.5 liter turbo petrol yang mampu menjana sebanyak 281 PS dan 422 Nm tork, digandingkan bersama transmisi automatik klac berkembar 8-kelajuan.

Berbeza daripada model facelift generasi keempat yang dilancarkan pada September lalu, model generasi kelima ini tampil dengan rekaan luaran yang baharu dan agak unik. Sebelum ini, bentuknya lebih ke arah crossover tetapi untuk model ini, ia kelihatan lebih kotak dan bersegi.

Menurut HMY, mereka mula mereka dari bahagian belakang terlebih dahulu berbanding bahagian hadapan. Oleh itu, bahagian belakang dilihat sangat luas, ditambah dengan kehadiran lampu depan dan belakang berbentuk H. Bonet juga kelihatan tinggi serta tidak dilupakan rim aloi bersaiz 21-inci.

Bahagian dalam masih belum didedahkan, namun dijangka tempat duduk baris ketiga kini lebih luas dan selesa dan banyak elemen premium dan mewah bakal disaji di bahagian dalam.

Ciri keselamatan juga telah dinaiktaraf dengan ciri bantuan pemandu terkini, termasuk brek kecemasan automatik generasi kedua, bantuan mengelak pelanggaran, pemantau titik buta, dan kawalan jelajah adaptif.

Santa Fe 2025 ini dijadualkan bakal lancar pada 2 Julai ini dengan model CKD menyusul pada suku ketiga 2025, yang dipasang di kilang Inokom, Kulim di Kedah.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD