Selain model Santa Fe 2025, Hyundai Motor Malaysia (HMY) turut memperlihatkan model Tucson Facelift 2025, sebuah SUV 5-tempat duduk untuk pasaran Malaysia. 3 varian akan ditawarkan iaitu Style, Prime dan Prestige dan tempahan telah pun dibuka kepada para pelanggan.
Turut bakal dilancarkan secara rasmi pada 2 Julai ini, SUV 5-tempat duduk ini berukuran 4,640 mm panjang, 1,865 mm lebar, 1,665 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,755 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 582 liter dan meningkat hingga 1,903 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

Model ini didatangkan dengan 3 pilihan enjin iaitu enjin 2.0 MPI yang mampu menjana sebanyak 156 PS dan 192 Nm tork, digandingkan bersama kotak gear automatik 6-kelajuan dan enjin 1.6 liter turbo (TGDI) yang mampu menjana sebanyak 180 PS dan 265 Nm tork, digandingkan bersama transmisi DCT 7-kelajuan.
Untuk varian tertinggi, HMY telah memperkenalkan pilihan enjin baru iaitu enjin 1.6T HEV yang mampu menjana sebanyak 235 PS dan 367 Nm tork, digandingkan bersama kotak gear automatik 6-kelajuan.

Berbeza dengan model Tucson generasi keempat yang telah diperkenalkan pada akhir tahun 2020, model facelift ini tampil dengan rekaan yang lebih garang dan sporty. Masih mengekalkan elemen Parametric Dynamics, bahagian hadapan kini ditambah dengan sentuhan garisan yang lebih tajam dan agresif dan menggunakan lampu utama jenis Parametric Jewel.

Selain itu, versi sebelum ini menerima empat unit LED manakala model facelift ini menerima tiga LED dalam satu barisan, dalam saiz yang lebih besar dan berbentuk lebih bulat. Skid plate hadapan berwarna perak kini memanjang dari hujung ke hujung kenderaan, selari dengan rekaan bahagian belakang. Rim juga telah direka semula.

Bahagian dalam kini tampil dengan rekaan serba baharu dengan papan pemukanya yang seakan-akan sama dengan model Ioniq 5 dan 6. Sambungan dwi-skrin dengan susun atur mendatar, serta corong penyaman udara yang kini telah disorokkan. Stereng juga kini tampil dengan rekaan baharu, ringkas tanpa logo Hyundai dengan tiga jejari.

Butang pemilih gear kini tiada lagi di konsol tengah dan telah digantikan dengan suis tuil pada stereng, sekaligus memberi banyak ruang simpanan di antara tempat duduk hadapan.

Perincian penuh dan harga rasmi untuk model ini masih belum didedahkan, namun Hyundai Tucson Facelift 2025 ini turut dijadualkan akan lancar pada 2 Julai ini.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?