Jumlah pelancong ke Langkawi pada cuti Hari Malaysia dilaporkan merosot antara 30 hingga 39 peratus berbanding tahun lalu. Tren ini dikatakan berpunca daripada pelancong domestik yang semakin gemar bercuti ke luar negara, khususnya ke selatan Thailand.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir, berkata tawaran pelancongan di Hatyai lebih menarik dengan kos yang rendah, selain masalah feri yang berlarutan di Langkawi menyebabkan ramai pelancong hilang sabar.
Selain itu, tambang penerbangan yang tinggi turut membebankan pelancong tempatan.
“Ramai rasa tertipu bila harga tiket pergi murah tapi tiket balik jauh lebih mahal,” katanya.
Beliau menambah, kelemahan promosi pelancongan domestik juga antara punca Langkawi kurang mendapat perhatian. LTA bagaimanapun akan melancarkan Langkawi Mega Sales Tourism (LMST) bermula 1 Oktober ini hingga hujung tahun dengan potongan harga hingga 60 peratus bagi menarik lebih ramai pelancong.
Setakat ini, Langkawi menerima 2.8 juta pengunjung dan menyasarkan 3.5 juta menjelang Disember. Zainudin berharap kerajaan memberi tumpuan terhadap isu asas seperti kos penerbangan dan perkhidmatan feri supaya industri pelancongan negara dapat kembali pulih.