Cadangan menukar nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga menimbulkan kebimbangan apabila ia dikatakan mampu memberi kesan negatif terhadap industri pelancongan di kawasan peranginan popular itu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon menjelaskan, nama Port Dickson sudah lama dikenali ramai termasuk pelancong antarabangsa, sekali gus menjadi aset penting bagi promosi destinasi tersebut.
“Nama Port Dickson sudah sebati, malah mudah ditemui di enjin carian internet. Jika ditukar, ia akan menjejaskan promosi, menelan kos besar dan mungkin mengurangkan minat pelancong. Dari perspektif pelancongan, saya tidak menyokong cadangan itu,” katanya.
Beliau turut menambah, penjenamaan semula ini berisiko menjejaskan keyakinan pelabur serta memberi kesan jangka panjang. Tambahnya lagi, cadangan ini juga dianggap tidak sesuai memandangkan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 semakin hampir dan Port Dickson adalah lokasi tumpuan utama.
Nicole memaklumkan, sempena cuti tambahan 15 September lalu, Port Dickson mencatatkan kehadiran pelancong yang sangat tinggi sehingga berlaku kesesakan luar biasa. Malah, carian penginapan di platform Agoda turut melonjak hingga 373 peratus, tertinggi berbanding destinasi lain.
Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, menegaskan bahawa nama Port Dickson sudah mempunyai identiti tersendiri dan dikenali di seluruh dunia, justeru wajar dikekalkan walaupun ada pihak mencadangkan perubahan.
Sumber: Sinar Harian