Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan bayi lelaki berusia setahun yang maut dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang pada Sabtu lalu tidak berada dalam kerusi keselamatan kanak-kanak.
Beliau menegaskan, kenyataan itu bukan untuk menyalahkan ibu bapa, sebaliknya sebagai peringatan tentang kepentingan penggunaan kerusi keselamatan.
“Ramai merungut bila kerajaan mewajibkan kerusi keselamatan kanak-kanak, tetapi bila tragedi seperti ini berlaku, ia membuktikan betapa pentingnya penggunaan kerusi keselamatan. Jika bayi itu diletakkan dalam kerusi keselamatan, mungkin nyawanya dapat diselamatkan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Terminal Bersepadu Gombak, hari ini.
Menurut laporan awal polis, bayi berkenaan tercampak keluar dari kenderaan semasa nahas. Loke berkata, kerusi keselamatan mempunyai ciri khusus melindungi bayi dan kanak-kanak, manakala kegagalan menggunakannya mendedahkan mereka kepada risiko lebih tinggi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan laporan awal kementerian mendapati lori yang terbabit dalam nahas mempunyai lesen dan permit sah, selain pemeriksaan Puspakom yang masih berkuat kuasa. Namun, siasatan mendapati sistem brek lori tidak berfungsi ketika kejadian.
“Ini satu tragedi menyayat hati. Ia juga peringatan kepada syarikat pengangkutan supaya tidak hanya menunggu pemeriksaan berkala Puspakom, tetapi memastikan penyelenggaraan dilakukan secara berterusan,” katanya.
Pada 27 September lalu, seorang bayi lelaki maut manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang. Nahas jam 11 pagi itu melibatkan sebuah Nissan X-Trail milik JKR Shah Alam, sebuah Honda City, Proton X70 dan lori tiga tan yang membawa barangan lusuh. – New Straits Times
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?