Kerajaan menegaskan bahawa kuota subsidi petrol sebanyak 300 liter sebulan di bawah program Budi Madani RON95 (Budi95) sudah mencukupi untuk majoriti pengguna persendirian di negara ini.
Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, analisis semasa menunjukkan 95 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 180 liter petrol sebulan, dengan purata penggunaan hanya sekitar 80 liter sebulan.
“Hanya kurang daripada 0.7 peratus pengguna menggunakan lebih daripada 300 liter untuk kegunaan peribadi. Berdasarkan data yang ada, jumlah kuota ini dilihat memadai, namun kerajaan akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam dua minggu pertama Oktober, hanya kurang daripada 0.1 peratus pengguna layak yang dilaporkan menggunakan keseluruhan kuota subsidi 300 liter mereka. Johan menjelaskan, sebarang kenaikan kuota perlu diteliti dengan berhati-hati kerana ia boleh membuka ruang kepada ketirisan dan penyeludupan bahan api, terutama di kawasan sempadan.
Beliau turut mendedahkan terdapat lebih 80 individu berlesen motosikal yang telah menggunakan keseluruhan kuota berkenaan dengan jarak perjalanan dilaporkan melebihi 500 kilometer sehari dalam tempoh dua minggu pertama Oktober.
Johan turut menjelaskan, rasionalisasi subsidi petrol dijangka memberi penjimatan kepada kerajaan sebanyak RM2.5 bilion setahun, yang akan disalurkan semula kepada projek pembangunan dan inisiatif kebajikan rakyat.
Beliau menegaskan, pendekatan subsidi bersasar bukan hanya bertujuan mengurangkan beban fiskal, tetapi juga memastikan dana awam digunakan secara lebih berkesan untuk keutamaan pembangunan negara.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), isi rumah menyumbang 78 peratus penggunaan RON95, manakala selebihnya digunakan oleh syarikat, warga asing, atau diseludup keluar.
“Daripada jumlah itu, sekitar 20 peratus merupakan potensi penjimatan. Jika diambil daripada subsidi bernilai RM20 bilion pada tahun 2023 dan 2024, penjimatan boleh mencecah sehingga RM4 bilion,” katanya.
Dengan harga minyak mentah semasa sekitar AS$60 setong, kerajaan mengunjurkan penjimatan tahunan sekitar RM2.5 bilion, sekali gus mencerminkan langkah pengurusan fiskal yang bertanggungjawab dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap dasar ekonomi negara.
“Oleh itu, kerajaan terus menyeimbangkan antara disiplin fiskal dan sokongan ekonomi agar pertumbuhan, peluang pekerjaan, serta kesejahteraan rakyat kekal terjamin,” jelasnya. – Bernama
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?