Seorang anggota polis maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler di Jalan Parit Kangkong, Parit Jawa, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan yang berlaku sekitar jam 6.30 pagi itu meragut nyawa Sarjan Ishak Abdul Kadir, 55 tahun, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat.
“Siasatan awal mendapati treler yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun sedang mengundur dalam keadaan melintang jalan sebelum dilanggar oleh kereta mangsa yang datang dari arah pekan Parit Jawa menuju ke Batu Pahat,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Menurut Raiz Mukhliz, ujian nafas dan darah terhadap pemandu treler mendapati lelaki itu bebas daripada pengaruh alkohol serta bahan terlarang. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, seramai 12 anggota bomba bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta jenis Honda City.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Jahairi Shukor berkata, pasukannya menggunakan peralatan khas termasuk sistem winching untuk mengeluarkan mangsa dalam operasi yang dijalankan dengan penuh cermat. – Sinar Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?