NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Perodua EV Di Fasa Akhir, Kandungan Tempatan Lebih 50%

Perodua EV Di Fasa Akhir, Kandungan Tempatan Lebih 50%

Perodua mengesahkan pembangunan kereta elektrik (EV) pertamanya kini sudah memasuki fasa akhir dan dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, model EV ini akan mempunyai lebih 50% komponen buatan tempatan apabila pengeluaran besar-besaran bermula awal tahun depan.

“Pada awalnya, kandungan tempatan mungkin tak setinggi model lain, tapi bila produksi besar bermula tahun depan, peratusannya akan naik dan terus meningkat,” katanya.

Beliau menjelaskan, projek EV ini mengambil masa lama untuk dibangunkan kerana melibatkan pelbagai kajian dan ujian termasuk beberapa model konsep seperti Emo 1, Emo 2 dan Emo 3.

Katanya, apa yang membuat projek ini istimewa ialah reka bentuk, platform, dan harta intelek (IP) bagi EV tersebut dimiliki sepenuhnya oleh Perodua serta dibangunkan oleh rakyat Malaysia.

“In Shaa Allah tak lama lagi kita akan lancarkan EV pertama Perodua ni. Ia memang 100% buatan Malaysia, hasil kerja anak tempatan,” katanya ketika ditemui selepas acara Japan Mobility Show 2025.

Zainal turut menambah, Perodua memastikan vendor tempatan juga terlibat dalam projek ini supaya mereka dapat mempelajari teknologi baharu berkaitan kenderaan elektrik.

Menyentuh tentang cabaran pasaran, beliau mengakui ramai pengguna bimbang harga jualan semula EV akan jatuh selepas beberapa tahun.

“Untuk EV, kita ada rancangan lain. Kita akan perkenalkan satu mekanisme supaya pemilik EV Perodua tak rasa rugi selepas tiga atau lima tahun,” jelasnya.

Antara konsep yang dipertimbangkan ialah pajakan bateri, bagi membantu mengurangkan kos pemilikan dan mengekalkan nilai jualan semula kenderaan.

Beliau berharap pendekatan ini dapat meyakinkan pembeli supaya tidak risau harga EV jatuh mendadak dan sekali gus membantu menarik lebih ramai pengguna mencuba model elektrik keluaran Perodua nanti.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD