Dato’ Abdul Rashid Musa Kembali ke PROTON, Dilantik Jadi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Baharu

Dato’ Abdul Rashid Musa Kembali ke PROTON, Dilantik Jadi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Baharu

PROTON telah mengumumkan pelantikan Dato’ Abdul Rashid Musa sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Deputy CEO) syarikat itu, berkuat kuasa 1 November 2025. Beliau akan melapor terus kepada Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong.

Tokoh yang dihormati dalam industri automotif Malaysia ini kembali ke PROTON dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang kejuruteraan, pembuatan dan pembangunan produk.

Sebelum ini, Dato’ Abdul Rashid pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Teknikal (CTO) sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, di mana beliau memainkan peranan penting dalam beberapa kejayaan besar syarikat, termasuk pelancaran Proton X70 pada tahun 2018, model yang menjadi titik perubahan penting dalam sejarah PROTON.

Selepas meninggalkan PROTON, beliau meneruskan kerjaya di UMW Holdings Berhad, mengetuai bahagian aerospace serta memacu inisiatif berkaitan mobiliti, inovasi dan pembangunan lestari sejajar dengan agenda nasional, sekali gus mengukuhkan peranannya dalam membangunkan ekosistem automotif Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata pelantikan ini amat signifikan bagi meneruskan momentum transformasi syarikat.

“PROTON berbesar hati menyambut semula Dato’ Abdul Rashid Musa ke dalam keluarga kami. Pengalaman luas dan pemahamannya terhadap industri automotif tempatan, serta pengetahuannya tentang operasi PROTON, akan membantu memperkukuh pertumbuhan dan hala tuju syarikat,” katanya.

Dalam masa sama, Dr Li turut merakamkan penghargaan kepada Ainol Azmil, yang telah memangku jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dari 10 Jun hingga 31 Oktober tahun ini.

Dengan pelantikan baharu ini, Ainol Azmil akan kembali menyandang tugas asalnya sebagai Naib Presiden, Strategi Korporat, selain terus mengetuai Bahagian Perolehan Teknikal Kumpulan PROTON sebagai Pengarah Kanan.

“Kami amat menghargai kepimpinan dan dedikasi beliau sepanjang memangku peranan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif. Panduan dan komitmen beliau memastikan kesinambungan operasi syarikat berjalan dengan lancar,” tambah Dr Li.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD