Proton Saga 2026: Rekaan Depan Belakang Kini Lebih Premium!

Proton Saga 2026: Rekaan Depan Belakang Kini Lebih Premium!

Baru sahaja didedahkan oleh PMX ketika Sidang Kemuncak ASEAN tempoh hari, kali ini Proton Saga 2026 telah diperlihatkan kepada para media secara lebih dekat. Bercakap tentang rekaan, Saga baharu ini nampak jauh lebih segar dan matang, macam versi glow up untuk model paling ikonik dalam barisan model Proton. Dari hadapan sampai belakang, semuanya sudah diberi sentuhan baru yang direka sepenuhnya oleh pereka dari Malaysia.

Bahagian depan kini tampil dengan gril baharu corak “Sulaman Songket”, diinspirasikan daripada seni tradisional tempatan, manakala jalur “Ethereal Bow” yang menyambung gril dengan lampu utama LED DRL pula memberi rupa yang lebih lebar dan kemas. Rekaan bampar bawah kini lebih sporty dan cermin sisi juga kini didatangkan dengan fungsi auto lipat dengan lampu isyarat LED terbina.

Dari sisi, Saga tampil ringkas tapi kemas, dengan rim aloi rekaan “arrow spoke” yang beri sedikit sentuhan dinamik. Nampak kecil tapi ada karakter. Sesuai dengan imej sedan harian yang praktikal tapi bergaya.

Paling menarik, bahagian belakang kini kelihatan lebih premium. Lampu belakang rekaan 3D offset digabung dengan jalur LED yang bersambung di tengah, membuatkan bahagian belakang nampak lebih lebar dan berbeza daripada model lama.

Penutup but direka dalam gaya Aero Trunk Lid, yang bukan sekadar hiasan tetapi juga membantu aliran udara. Bampar bawah pula disusun dua lapis dengan gaya minimalis. Sekali imbas, memang nampak macam Tesla Model Y versi mampu milik.

Secara keseluruhannya, Saga baharu ini bukan sekadar facelift, tetapi kini sudah dinaik taraf dari segi rekaan luaran, dalaman dan teknologi. Masih kekal sebagai sedan mampu milik, tapi kali ni dengan gaya dan persona yang lebih matang.

Dan katanya, pelancarannya sudah semakin dekat. Yang pasti ramai tertunggu-tunggu, semestinya tanda harga yang bakal diletakkan oleh PROTON. Adakah Proton akan kekalkan ia dalam julat mampu milik, atau kali ni ada kejutan baru? Tunggu pengumuman rasmi tak lama lagi.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD