Ford Perkenal Ranger Raptor Sport 3.0 – Lebih Berkuasa & Eksklusif, Harga Bermula RM274k

Ford Perkenal Ranger Raptor Sport 3.0 – Lebih Berkuasa & Eksklusif, Harga Bermula RM274k

Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion), pengedar tunggal Ford di Malaysia, menandakan satu lagi pencapaian baharu dengan pelancaran Ford Ranger Raptor Sport 3.0, varian terbaharu dalam keluarga Ranger Raptor sempena ulang tahun ketiganya di pasaran tempatan.

Model edisi khas ini hadir dengan enjin petrol 3.0L twin-turbo EcoBoost V6 yang ditala khas oleh Ford Performance, menghasilkan 397 PS pada 5,650 rpm dan 583 Nm tork pada 3,500 rpm.

Kuasanya dipadankan dengan penyerap hentak FOX 2.5-inch Live Valve Internal Bypass lengkap dengan Bottom-Out Control untuk prestasi pemanduan yang lebih stabil dan selesa — sama ada di jalan raya biasa atau laluan off-road.

Raptor Sport juga tampil dengan rim gaya beadlock, direka dengan lubang berulir yang membolehkan pemilik memasang beadlock sebenar untuk penggunaan off-road ekstrem. Untuk pemanduan harian, ia hadir dengan “beauty rings” yang lebih kemas dan bergaya. Ciri ini memberi fleksibiliti kepada pemilik yang mahu menjalankan tekanan tayar rendah bagi daya cengkaman maksimum di permukaan lasak.

Menampilkan gaya lebih berani, model ini menerima rekaan pelekat Raptor baharu dan tambahan Sport Hoop, menjadikan penampilannya lebih garang dan sepadan dengan identiti lasak Ford Performance.

Sejak diperkenalkan pada 2022, rangkaian Next-Gen Ranger Raptor terus berkembang dengan fokus pada kuasa, teknologi dan kemampuan off-road. Kehadiran Raptor Sport menjadi simbol kepada fasa seterusnya dalam perjalanan prestasi Ford di Malaysia.

Model ini bukan sekadar trak pikap, ia lambang gaya hidup penuh kebebasan dan minat terhadap pengembaraan. Untuk meraikan tiga tahun kehadiran model tersebut, Auto ConneXion baru-baru ini menganjurkan acara Raptor Rev yang menghimpunkan lebih 500 pemilik dan peminat tegar dari seluruh negara.

Ditawarkan dalam dua warna iaitu Arctic White dan Meteor Grey, Ford Ranger Raptor Sport dijual pada harga:
RM273,888 (Semenanjung Malaysia)
RM277,388 (Sabah & Sarawak)

Setiap pembelian didatangkan dengan waranti 5 tahun, servis percuma 2 tahun, dan hadiah eksklusif beg penyejuk “Live The Ranger Life”.

Unit adalah terhad, dan model ini boleh dilihat di semua pusat pameran Ford seluruh negara bermula 15 November 2025.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD