Kehadiran Mitsubishi Xforce di pasaran Malaysia nampaknya semakin hampir apabila SUV segmen-B itu sekali lagi dikesan di negara ini — kali ini tanpa sebarang pelekat penyamaran. Berbeza dengan kemunculan terdahulu pada Februari tahun lalu yang masih ‘berselindung’, imej terbaharu menunjukkan Xforce tampil sepenuhnya dalam bentuk produksi.
Gambar yang diterima daripada pembaca paultan.org, Derek Ng, memperlihatkan beberapa unit Xforce sedang diturunkan dari lori pengangkut di Shah Alam. Penemuan ini jelas memberi bayangan kuat bahawa Mitsubishi Motors Malaysia sedang membuat persiapan akhir sebelum pelancaran rasmi model tersebut.
Untuk rekod, Mitsubishi Xforce membuat debut global di Indonesia pada Ogos 2023. Dari segi dimensi, SUV ini berukuran 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi, meletakkannya dalam kategori SUV segmen-B penuh. Saiznya hampir menyamai Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross, malah lebih besar berbanding Perodua Traz serta Toyota Yaris Cross.

Bagi rangkaian kuasa, versi petrol penuh Xforce menggunakan enjin 1.5 liter NA empat silinder DOHC MIVEC (kod 4A91), sama seperti yang digunakan pada Mitsubishi Xpander. Enjin ini menghasilkan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork maksimum 141 Nm pada 4,000 rpm, dipadankan dengan transmisi automatik CVT yang memacu roda hadapan.
Selain itu, Mitsubishi turut menawarkan varian hibrid Xforce HEV di Thailand sejak Mac tahun lalu. Model ini menggunakan sistem hibrid e:Motion yang menggabungkan enjin petrol 1.6 liter kitaran Atkinson (4A92) dengan motor elektrik. Motor elektrik menjadi pemacu utama roda hadapan dengan kuasa 116 PS dan tork 255 Nm, manakala enjin petrol lebih banyak berfungsi sebagai penjana tenaga, namun masih boleh membantu memacu roda pada kelajuan tertentu melalui sistem klac khas.
Menariknya, kedua-dua versi petrol dan hibrid Xforce dilengkapi sistem Active Yaw Control (AYC) yang mengawal agihan tork antara roda hadapan kiri dan kanan bagi meningkatkan kestabilan serta cengkaman, termasuk ketika melalui permukaan off-road ringan. Model ini turut menawarkan beberapa mod pemanduan seperti Normal, Wet, Gravel dan Mud, manakala varian hibrid menerima mod tambahan termasuk Tarmac, EV Priority dan Charge.
Namun begitu, untuk pasaran tempatan, Mitsubishi dijangka hanya membawa masuk varian 1.5 liter petrol NA. Ini berdasarkan unit yang dirakam di Shah Alam yang menampilkan ciri luaran khusus versi petrol seperti rim aloi 18-inci dengan rekaan tertentu serta lampu belakang LED berwarna merah, berbeza dengan grafik ‘albino’ pada versi hibrid.

Dari segi rekaan, Mitsubishi Xforce mengekalkan sepenuhnya bahasa reka bentuk model konsep XFC yang diperkenalkan pada Oktober 2022. Bahagian hadapan masih menampilkan identiti Dynamic Shield dengan gril trapezoid serta lampu nyalaan siang berbentuk L, memberikan penampilan moden dan agresif yang jelas membezakan Xforce daripada model Mitsubishi lain.
Dengan kehadiran unit tanpa penyamaran ini, pelancaran Mitsubishi Xforce di Malaysia dilihat hanya menunggu masa.
Sumber: paultan.org
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?