PROTON hari ini secara rasmi memperkenalkan 2026 PROTON X70, versi terbaharu bagi SUV C-Segmen perdana jenama itu yang kini tampil dengan penambahbaikan menyeluruh berasaskan keutamaan pemilik. Model ini menekankan empat aspek utama iaitu prestasi, keselesaan dan kemudahan, kos pemilikan serta penjagaan, sekali gus menawarkan ketenangan minda jangka panjang kepada keluarga Malaysia.
Sejak dilancarkan pada tahun 2018, PROTON X70 telah memainkan peranan penting dalam membentuk semula landskap pasaran SUV tempatan. Berkongsi platform global Geely Boyue yang telah mencatatkan lebih dua juta unit jualan di seluruh dunia, X70 dikenali sebagai model yang menawarkan keseimbangan dari segi kebolehpercayaan, keselesaan dan nilai. Kemas kini bagi tahun 2026 ini mencerminkan falsafah penambahbaikan berterusan PROTON yang berpaksikan maklum balas pelanggan.


Di bawah bonet, 2026 PROTON X70 masih mengekalkan enjin i-GT 1.5TD 4-silinder yang digandingkan dengan transmisi 7-kelajuan DCT, menghasilkan kuasa 181 PS dan tork 290 Nm. Unit rangkaian kuasa ini telah diperhalusi bagi menawarkan pemanduan yang lebih lancar, responsif serta cekap dari segi penggunaan bahan api.
Disokong talaan casis dan suspensi oleh PROTON, SUV ini menawarkan kestabilan dan keyakinan pemanduan sama ada di kawasan bandar mahupun di lebuh raya, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh bersama keluarga.

Aspek keselesaan menerima perhatian khusus menerusi peningkatan kualiti tunggangan dan tahap kehalusan kabin. Penambahbaikan dari segi Noise, Vibration and Harshness (NVH) menjadikan ruang dalaman lebih senyap, manakala kabin yang luas memastikan keselesaan optimum untuk semua penumpang.
Dari segi teknologi, 2026 PROTON X70 dilengkapi skrin infotainmen 12.3 inci yang menyokong Apple CarPlay® dan Android Auto™ tanpa wayar, selain sistem arahan suara “Hi PROTON” untuk pengalaman penggunaan yang lebih intuitif dan mudah.

PROTON turut memberi tumpuan kepada kos pemilikan jangka panjang. Dengan kadar penggunaan bahan api sekitar 6.9L/100km, enjin ini menawarkan kecekapan tanpa menjejaskan prestasi. Penggunaan rantai pemasaan (timing chain) meningkatkan ketahanan enjin dan mengurangkan keperluan penyelenggaraan, sekaligus membantu menurunkan kos pemilikan keseluruhan.
Dari sudut keselamatan, 2026 PROTON X70 hadir dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi 13 ciri keselamatan, termasuk Intelligent Cruise Control (ICC), Lane Keep Assist (LKA) dan Autonomous Emergency Braking (AEB).
Keyakinan pemilikan turut disokong oleh rangkaian selepas jualan PROTON yang luas dengan 172 pusat servis sah 3S dan 4S di seluruh negara, selain sokongan alat ganti yang kukuh.
Menurut Dato’ Ir Rashid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, 2026 PROTON X70 dibangunkan berteraskan nilai sebenar kepada pelanggan.
“Daripada mengejar trend semata-mata, kami memberi tumpuan kepada pengukuhan prestasi, keselesaan, kos dan penjagaan bagi memastikan X70 kekal sebagai SUV yang boleh dipercayai sepanjang tempoh pemilikan,” katanya.

2026 PROTON X70 ditawarkan dalam empat warna luaran iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey dan Marine Blue. Setiap pembelian hadir dengan pakej standard komprehensif termasuk Pro-Warranty (jaminan 5 tahun tanpa had perbatuan dan enam kali servis upah percuma), Pro-Connect (data 5 tahun, 2GB sebulan) serta Pro-Finance dengan tempoh pembiayaan sehingga 9 tahun dan kadar faedah serendah 2.2% setahun.
Sebagai tawaran pelancaran, 1,500 pelanggan terawal yang mendaftar sebelum 31 Mac 2026 layak menikmati sokongan Pro-Trade-In sehingga RM2,000, rebat tunai RM7,000 serta Pakej Aksesori bernilai RM700.
Harga atas jalan (tanpa insurans):
1.5TD Executive: RM106,800 (Semenanjung), RM108,800 (Malaysia Timur)
1.5TD Premium: RM119,800 (Semenanjung), RM121,800 (Malaysia Timur)
Harga selepas rebat:
Executive: dari RM99,800
Premium: dari RM112,800
Dengan gabungan prestasi, teknologi, keselamatan dan sokongan selepas jualan yang dipertingkatkan, 2026 PROTON X70 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pilihan SUV C-Segmen paling seimbang dan diyakini di pasaran tempatan.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?